fbpx
Imran tidak menyangka Jessica yang dikenalinya itu merupakan puaka. – ilustrasi shah hasan

Misteri penulis bernama Jessica

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUDAH menjadi kebiasaan buat Imran (bukan nama sebenar) menjadi orang terakhir yang meninggalkan pejabat pada hari bekerja.

Ini kerana tuntutan kerja sering memaksa jurugambar di sebuah syarikat penerbitan majalah di Kuala Lumpur itu sering bekerja lebih masa.

Buat Imran, perkara itu bukanlah satu masalah memandangkan dia masih bujang dan mahu menjana wang tambahan menerusi kerja lebih masa atau over time.

Sudah menjadi tugas pemuda berasal dari Lumut, Perak itu untuk memastikan kesemua lampu dan pendingin hawa ditutup sebelum melangkah keluar dari pejabat.

Bagaimanapun, satu peristiwa misteri yang berlaku pada November 2017 menyebabkan Imran ‘taubat’ untuk pulang lewat lagi.

Masih tidak dapat menerima sepenuhnya tentang perkara yang berlaku, Imran membuka cerita tentang pengenalannya dengan seorang gadis bernama Jessica.

“Satu hari, waktu sedang buat last check bagi memastikan semua lampu dan pendingin hawa ditutup, saya nampak seorang penulis masih lagi tekun berfikir. Saya rasa dia sedang mencari ilham.

“Dari situ saya kenal Jessica. Seorang penulis baharu majalah teknologi yang sedang tertekan mengejar dateline. Kami sering berbual pendek sebelum pulang.

“Semenjak itu, selepas selesai tugas, saya akan tunggu di meja sambil layan Netflix sehinggalah Jessica bangun dari kerusinya.

“Selalunya, paling lewat saya balik pukul sembilan malam. Sejak ada Jessica, sampai pukul 12 tengah malam, saya tunggu,” katanya.
Lumrah kerja sebagai penulis dan jurugambar yang sering keluar mencari bahan berita membuatkan Imran tidak pernah mempersoalkan ketidakberadaan Jessica sebelah siang.

Tambahan lagi dengan perwatakan Jessica yang ceria ketika ditegur serta gemar memakai wangian seperti bau ‘gula-gula’ tidak membuatkan dia memiliki perasaan aneh terhadap gadis kacukan Cina-Inggeris itu.

Cuma hatinya pernah terdetik dengan gaya pakaian Jessica yang serupa pada setiap hari iaitu seluar jean, kasut putih dan baju kemeja warna hitam.

“Sekarang baru saya ingat, dia tidak pernah ada komputer riba di hadapannya. Dia juga tak pernah guna telefon bimbit.

“Dia selalu duduk di mejanya sambil merenung ke arah dinding sehingga pukul 12 tengah malam, dia angkat beg, bangun dan senyum ke arah saya.

“Pada masa itu, saya bingkas tutup komputer riba, lampu dan pendingin hawa. Dia sering mengikuti saya buat last check dan kami selalu berbual pendek.

“Kami sering berpisah di lif ground floor kerana Jessica suka parkir kereta di tingkat B4 dan saya naik motor. Jadi tidak pernah ada sebarang isu,” jelasnya.

Rutin harian itu berterusan sehinggalah pada satu hari, penolong pengarang kanan, Adam (bukan nama sebenar) mempersoalkan tabiat Imran yang suka pulang lewat malam.

Imran membuka cerita berkenaan Jessica, secara tiba-tiba, raut wajah Adam berubah menjadi pucat dan kelihatan terkedu sebentar.

Adam mendedahkan bahawa syarikat mereka pernah memiliki seorang penulis bernama Jessica sekitar awal 90-an dan dia ditemui tidak bernyawa di mejanya.

Tambah Adam, siasatan polis mendapati gadis berusia 25 tahun itu meninggal dunia akibat kegagalan jantung dan satu inkues memutuskan penyakit itu berpunca daripada kerja berlebihan.

“Pada mulanya, saya ingat Adam bergurau sampailah dia tunjuk gambar lama sewaktu dia mula-mula bergelar wartawan.

“Dalam gambar tersebut ada seseorang menyerupai Jessica. Bulu roma saya meremang saat melihat gambar itu dan semua persoalan yang saya enggan fikir sebelum ini timbul.

“Menurut Adam, tidak ada tingkat B4 di pejabat itu. Saya pergi ke lif untuk periksa dan memang tidak ada tingkat B4,” katanya yang memerlukan khidmat perubatan Islam untuk kembali pulih.

Imran berkata, dia tidak menunggu lama untuk memberikan surat peletakan jawatan kerana tidak memiliki keberanian untuk ke syarikat itu lagi.

Pada bulan terakhir di syarikat itu, Imran memilih untuk pulang lebih awal berbanding rakan sekerja lain. Bagaimanapun, dia sering terasa seperti diperhatikan terutama ketika berada dalam lif berseorangan.

Dia yang kini bertugas sebagai jurugambar perkahwinan secara persendirian menganggap kehadiran roh Jessica sebagai peringatan buatnya untuk tidak mengabaikan kesihatan diri demi mencari duit lebih.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN