JAKARTA – Penduduk sebuah kawasan perumahan di Depok, wilayah Jawa Barat gempar apabila beberapa video tular merakam kelibat makhluk didakwa pocong berdiri di hadapan pintu rumah, lapor portal berita TV One News semalam.
Video dan gambar itu dikongsikan dalam kumpulan sembang WhatsApp penduduk, sehingga mencetuskan keresahan dalam kalangan orang ramai.
Menurut penduduk, ada antara mereka terdengar bunyi ketukan di pintu, malah ada yang dirasuk gara-gara melihat pocong tersebut.
Beberapa penduduk pula mendakwa bahawa pocong tersebut meminta tolong agar tali ikatannya dibuka.
Bagi memastikan kesahihan berita tersebut, Ketua Polis Bojongsari, Komisioner Fauzan Thohari turun ke lapangan bagi bertemu dengan ketua Rukun Tetangga (RT) setempat.
“Kami sudah memeriksa perkara itu dengan ketua RT, ia ternyata palsu,” kata Fauzan.
Perkara itu turut disahkan ketua RT yang menyatakan bahawa kejadian itu tidak berlaku di kawasan perumahan tersebut.
“Saya ketua RT 04 RW 04, mukim Pasir Putih, ingin menyampaikan bahawa berita tular di media sosial mengenai pocong itu adalah tidak benar.
“Ia tidak berlaku di kawasan kami,” katanya. – AGENSI














