PETALING JAYA – Pakar-pakar ekonomi menggesa caj RM1 yang dikenakan bagi transaksi pengeluaran antara bank menerusi mesin pengeluaran wang automatik (ATM) wajar dihapuskan kerana ia telah lama membebankan pengguna.
Caj itu dilihat menyusahkan rakyat terutama bagi pemegang kad ATM yang tiada pilihan bank lain untuk mereka mengeluarkan wang khususnya yang tinggal di bandar-bandar kecil.
Pakar ekonomi, Prof. Madya Ts. Dr. Anuar Shah Bali Mahomed dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, caj RM1 itu pernah dikecualikan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
Menurutnya, sepanjang tempoh itu, pihak bank masih mampu beroperasi seperti biasa, malah mampu mengaut keuntungan semasa pandemik Covid-19.
“Jadi, ia cukup jelas menunjukkan bahawa tiada masalah jika caj ini tidak diteruskan lagi kerana pihak bank juga mengenakan caj untuk perkhidmatan-perkhidmatan lain kepada pengguna,” katanya kepada Kosmo!.
Beliau berpendapat, sekiranya pihak bank tidak mahu memansuhkan caj itu secara menyeluruh, adalah wajar untuk mempertimbangkan caj tersebut hanya dikenakan kepada pekerja asing.
“Keadaan ekonomi sekarang masih lagi belum menentu, dengan membuat pengecualian itu, pihak bank sedikit sebanyak dapat membantu rakyat Malaysia untuk berdepan tempoh yang mencabar ini.
“Malah, pemansuhan caj ini juga boleh membantu pengguna yang tinggal di kawasan luar bandar atau pedalaman yang tidak mempunyai banyak ATM.
“Ada di sesetengah tempat, pelanggan terpaksa bersusah payah mencari ATM mereka supaya tidak dikenakan caj RM1 jika keluarkan wang di bank lain. Jadi keadaan ini sememangnya menyusahkan mereka,” ujarnya.
Seorang lagi pakar ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai pula memberitahu, pihak bank tidak akan mengalami kerugian jika memansuhkan caj RM1 bagi transaksi pengeluaran berlainan bank.
Ini kerana, katanya, bank telah mengenakan pelbagai caj lain ke atas pengguna serta faedah keuntungan atau ‘bunga’ kepada pelanggan yang membuat pinjaman dengan mereka.
“Jadi bagi saya, jika mansuhkan caj RM1 ini, ia tidak memberi kesan ke atas kos operasi bank, malah mereka mampu mengaut keuntungan lagi dengan caj-caj dan ‘bunga’ ke atas peminjam.
“Inilah masanya pihak bank membalas balik ‘budi’ pelanggan dengan memansuhkan caj RM1 atau menggantung sementara ketika ekonomi masih tidak stabil,” katanya.
Beliau juga mencadangkan supaya caj RM1 itu hanya dikenakan kepada pengguna yang membuat pengeluaran wang secara tunai dalam jumlah yang besar.
“Justeru, saya menyeru kerajaan supaya campur tangan dalam isu ini kerana ia melibatkan masalah hampir keseluruhan masyarakat negara kita,” ujarnya.
Pada April 2020, kerajaan memutuskan semua institusi perbankan membuat pengecualian caj pengeluaran RM1 antara bank di semua ATM sehingga tempoh PKP tamat.
Langkah berkenaan dibuat bagi memastikan orang ramai tidak berpusu-pusu membuat pengeluaran di sesebuah bank dan menerusi kaunter juruwang ketika pandemik Covid-19 semakin menular ketika itu.
Bagaimanapun, selepas tempoh PKP berakhir, semua bank mengenakan semula caj RM1 tersebut kepada pengguna mulai Februari 2022.
















