fbpx

Atsu ditemui selamat runtuhan gempa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ATSU (kiri) berjaya ditemui di kawasan runtuhan dalam keadaan selamat biarpun mengalami kecederaan dan ketika ini sedang menjalani rawatan di sebuah hospital. – AFP

ISTANBUL – Bekas pemain antarabangsa Ghana, Christian Atsu yang kini mewakili kelab Turkiye, Hatayspor disahkan selamat selepas dijumpai di kawasan runtuhan gempa bumi di wilayah tenggara negara itu kelmarin.

Difahamkan, Atsu telah bermalam di daerah itu selepas membantu pasukan menang ke atas kelab Kasimpasa pada aksi Liga Turki Ahad lalu de­ngan keputusan 1-0 hasil jaringan tunggal yang dilakukannya pada masa kecederaan.

Berita kehilangan Atsu telah dilaporkan pada hari Isnin de­ngan misi pencarian telah giat dijalankan sebelum ditemui selamat oleh orang ramai kelmarin.

Persatuan Bola Sepak Ghana memberitahu, pihak keselamatan tempatan telah mengesahkan penyerang berusia 31 tahun itu selamat dan kini sedang menjalani rawatan pemulihan.

“Kami telah menerima khabar positif mengenai status Atsu yang kini disahkan selamat selepas ditemui di kawasan runtuhan gempa bumi dan sedang menjalani rawatan. Doa akan terus diberikan agar dia pulih seperti biasa,” kata kenyataan tersebut.

Sementara itu, Naib Presiden Hatayspor mengesahkan hanya pegawai kelab yang kini masih belum ditemui iaitu, Taner Savut yang memegang jawatan selaku pengarah sukan.

“Kami gembira apabila Atsu telah pun ditemui meskipun mengalami kecederaan, tetapi pengarah sukan pasukan, Savut masih lagi berada dalam runtuhan tersebut,” katanya.

Sementara itu, penjaga gol pasukan Yeni Malatyaspor yang beraksi di liga divisyen dua Turkiye, Ahmet Eyup Turkaslan disahkan menjadi atlet pertama yang maut susulan gempa bumi terbabit.

“Penjaga gol kami, Ahmet Eyup Turkaslan telah ditemui maut di bawah runtuhan tersebut. Dia adalah seorang pemain yang cukup disegani dan berharap rohnya dirahmati,” kata kenya­taan kelab Malatyaspor. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI