fbpx
MEMILIKI zuriat dan keluarga sendiri merupakan antara impian setiap pasangan berkahwin.

Kahwin awal elak diri lakukan dosa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Mendirikan rumah tangga pada usia lewat bukan hanya mengundang ‘cakap-cakap’ daripada orang sekeliling, malah turut memberi implikasi kurang sihat kepada pasangan terutamanya untuk menimang cahaya mata.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, pada prinsipnya, agama Islam menggalakkan umatnya berkahwin apabila wujud keinginan dan kecenderungan di dalam diri seseorang untuk berumah tangga.

Katanya, pada hakikatnya banyak faedah yang diperoleh menerusi perkahwinan sama ada untuk diri sendiri ataupun untuk masyarakat.

“Antara lain adalah untuk memelihara diri daripada melakukan sebarang perbuatan maksiat yang mengundang dosa.

“Menerusi perkahwinan juga, ia dapat melahirkan lebih ramai zuriat yang bakal meneruskan peranan generasi masa kini sebagai khalifah Allah bagi memakmurkan muka bumi.

“Namun, perkahwinan yang terlalu lewat dikhuatiri akan meluputkan peluang untuk mendapat anak. Bagaimanapun, ini bergantung kepada kesuburan seorang wanita,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

Tambah beliau lagi, dalam sejarah umat Islam, ramai sahabat Rasulullah SAW didapati berkahwin sebaik mencecah usia remaja iaitu dalam lingkungan 20 tahun atau lebih sedikit.

Jelas Wan Salim, tradisi berkahwin awal itu diteruskan umat Islam dari semasa ke semasa sehinggalah ke abad-abad mutakhir.

“Antara faktor yang mendorong umat Islam zaman dahulu bersegera melangsungkan perkahwinan adalah galakan pihak kerajaan dengan membantu rakyat dari sudut kewangan dan kemudahan-kemudahan lain yang diperlukan bagi tujuan ini.

“Namun, kita dapati situasi zaman kini telah berubah. Kehidupan moden yang semakin canggih menyebabkan keperluan rumah tangga semakin rencam ditambahkan lagi dengan kos sara hidup yang makin melonjak.

“Malah, harga rumah pada masa kini melambung ke paras yang di luar kemampuan ramai untuk memilikinya. Hal ini menyebabkan ramai yang terpaksa menangguhkan perkahwinan ke usia yang agak lewat sehingga 40 tahun atau lebih,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, dari sudut hukum fiqah, menangguhkan perkahwinan adalah tidaklah dilarang sekiranya seseorang mempunyai alasan munasabah seperti belum bersedia dari sudut kewangan, ada keuzuran tertentu atau halangan yang tidak dapat diatasi. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN