fbpx
Hospital antara tempat yang sering dikaitkan dengan peristiwa-peristiwa mistik. – GAMBAR HIASAN

Jenazah wanita tua yang telah dikebumi balik ke hospital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Cukup hanya ingin dikenali sebagai Liza, wanita kelahiran Gurun, Kedah ini sudah lebih sedekad bertugas sebagai jururawat.

Pelbagai perkara mistik dan seram pernah dilaluinya ketika bertugas terutama sekali apabila ditugaskan pada waktu malam.

Pelbagai ragam pesakit di wad yang dikenali sebagai Wad Melur (perempuan) di sebuah hospital yang terletak di Pantai Timur pernah didepani Liza sewaktu bertugas.

Cumanya, apa yang paling tidak dapat dilupakan ibu dua cahaya mata itu adalah pengalamannya ketika menguruskan seorang wanita tua berstatus nenek berusia 80 tahun sekitar tiga tahun lalu.

“Kalau ikutkan nenek yang mesra disapa Nek Yam (bukan nama sebenar) itu sudah hampir dua minggu berada di wad disebabkan jangkitan kuman pada paru-paru.

“Sepanjang saya dan rakan sekerja lain menjaganya, nenek tersebut langsung tidak pernah dilawati mana-mana ahli keluarga atau saudara terdekat. Setahu saya dia hanya ada dua orang anak. Seorang sudah berkahwin dan menetap di Kuala Lumpur mengikut suami. Seorang lagi lelaki masih bujang, tetapi tidak bekerja dan merupakan kaki botol,” katanya.

Tambah Liza, memandangkan tiada waris lain, Nek Yam diberi sedikit keutamaan dan diletakkan tidak jauh dengan meja utama jururawat bertugas.

Ujarnya lagi, tidak setakat menghadapi masalah paru-paru, Nek Yam juga kerap diserang asma dan sakit lemah jantung.

“Sepanjang dua minggu di bawah penjagaan kami, ada dua kali Nek Yam pengsan tidak sedarkan diri dan pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi beberapa hari. Nek Yam juga tidak larat untuk bangun dan hanya dibiarkan terbaring di katilnya. Makan juga tidak banyak dan hanya diberi susu,” ujarnya yang mengakui tahap kesihatan Nek Yam semakin merosot saban hari.

Selang seminggu, Liza yang memulakan tugas pada sebelah malam mendapat tahu Nek Yam sudah meninggal dunia menemui pencipta-Nya sekitar pukul 8 pagi. Jenazahnya juga selamat dibawa pulang dan dikebumikan di kampungnya selepas dituntut kedua-dua anak kandung.

“Jadi bila dapat tahu, sedih jugalah rasa sebab kita jururawat bertugas di wad tersebut memang rapat dan bagaikan ibu sendiri.

“Semasa hayat, Nek Yam juga tidak banyak bercakap dan sentiasa tersenyum. Ucapan terima kasih tak pernah lekang dari bibirnya walaupun dalam keadaan uzur,” katanya.

Meneruskan perkongsian, Liza yang sudah pun memulakan tugas pada malam itu entah bagaimana kerap terbayang-bayang Allahyarham di katil dia ditempatkan.

Memasuki tengah malam, katil yang kosong itu seakan-akan bagaikan ada pesakit yang baring dan memerhati ke arahnya.

“Mula-mula saya fikirkan hanya halusinasi dan mengantuk, tetapi sumpah dengan nama Allah, saya lihat dengan mata kepala sendiri katil tersebut yang samar-samar dalam kegelapan ada Nek Yam sedang terbaring.

“Bukan sekali dua saya nampak dan dikejutkan dengan perkara itu, tetapi banyak kali pada malam sama. Rakan sekerja saya, Nadia dan Maya (bukan nama sebenar) juga nampak benda sama. Jelas wajah Nek Yam lengkap berjubah putih dengan senyuman manis dan melambai ke arah kami,” ujarnya.

Beritahu Liza, tidak setakat penampakan wajah dan kelibat jenazah Nek Yam, tetapi suaranya juga sayup-sayup kedengaran seakan-akan meminta tolong dan sesekali diselangi ucapan terima kasih.

Perkara dan gangguan kecil itu dikatakan Liza berlaku sehingga seminggu tanpa henti dan turut dilihat beberapa pesakit lain sampai ada diserang histeria.

Kisah misteri jenazah wanita tua balik ke hospital selepas dikebumikan itu menjadi buah mulut hingga diketahui seluruh kakitangan serta penduduk sekitar hingga ke saat ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN