fbpx
JASPER SUPAYAH

7 tahun mencuba, Jasper Supayah sedia ‘mengganas’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

REZEKI tidak pernah salah alamat. Itulah yang berlaku kepada pelakon tingggi lampai, Jasper Supayah.

Memulakan langkah dalam bidang seni sebagai penyanyi menerusi program Akademi Fantasia 2016 tujuh tahun lalu, namanya masih tenggelam timbul.

Nasib juga seakan-akan tidak menyebelahinya, Jasper yang pernah menghasilkan tiga buah single iaitu Empati, Jiwa Sama dan terbaharu, Katakan Pada Dia pada Disember lalu dilihat masih mencari arah.

Meskipun begitu, Jasper tidak pernah berputus asa kerana nyanyian adalah minat dan impiannya.

“Putus asa tiada dalam kamus hidup saya. Memang saya mahu menjadi penyanyi tetapi sudah tertulis rezeki lebih ‘meriah’ dalam bidang lakonan dan pengacaraan.

“Walaupun karier nyanyi agak kurang menjadi dan saya perlu menunggu lama serta keluarkan banyak single untuk berjaya, saya sanggup.

“Ini kerana kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa sebarang pengorbanan.

TAHUN ini Jasper bakal muncul dengan sebuah filem aksi yang diharapkan membawa impak besar terhadap karier lakonannya.

“Mungkin sekarang masih belum rezeki untuk lagu-lagu saya mendapat perhatian tetapi saya tidak akan berhenti,” ujar Jasper ketika ditemui pada sesi fotografi di DXN Cyberville, Cyberjaya baru-baru ini.

Ditebak adakah Jasper berasa cemburu melihat kejayaan rakan-rakan seangkatannya seperti Amir Masdi dan Ara Johari yang terlebih dahulu popular sebagai penyanyi, anak kelahiran Johor itu hanya tersenyum.

“Cemburu yang positif ya, tetapi daripada satu sudut saya tahu, belum tiba masanya. Banyak lagu yang perlu saya belajar.

“Tetapi impian saya adalah memiliki sekurang-kurangnya sebuah lagu yang menjadi siulan ramai,” luah Jasper yang mengusung genre balada.

PERNAH seangkatan dengan Amir Masdi dan Ara Johari dalam Akademi Fantasia tujuh tahun lalu, nasib Jasper Supayah sebagai penyanyi tidak seindah yang diharapkan.

Filem aksi

Menginjak ke usia 30 tahun pada tahun ini, Jasper menyimpan impian besar untuk karier seninya berkembang.

Bakal muncul dengan sebuah filem aksi tidak lama lagi, Jasper menegaskan untuk kekal bertahan sebagai anak seni, dia sentiasa perlu memperbaiki diri.

Jika sebelum ini sering diberi watak gadis Melayu yang lemah lembut dalam drama, tetapi untuk filem aksi berkenaan, dia perlu mempelajari seni mempertahankan diri.

“Sebenarnya tahun ini saya mengharapkan sesuatu yang luar biasa berlaku dalam karier seni antaranya filem aksi ini. Butirannya saya masih tidak boleh dedahkan.

“Tetapi sejak tahun lalu saya telah memasuki kelas mempertahankan diri sebagai persediaan sebelum memasuki set filem aksi ini nanti,” kata Jasper.

Biarpun tidak mudah dan sudah terbiasa dengan karakter tipikal, kali ini dia nekad mencabar diri.

“Sukar sebenarnya kalau berlakon dalam sebuah karya aksi. Selain perlu menghafal dialog dan menjaga lakonan badan saya harus cergas supaya lakonan berkesan.

“Bagusnya selain untuk persediaan watak, badan saya juga sihat kerana sering bersenam di gim,” ujar Jasper.

Pelakon yang pernah membintangi enam buah filem termasuk Polis Evo 2 itu melihat peluang bergelar pelakon wanita aksi begitu cerah, memandangkan tidak ramai pelakon wanita tempatan yang memiliki kemahiran tersebut.

“Pelakon aksi lelaki agak ramai di Malaysia, tetapi wanita tidak begitu ramai. Jadi, saya mahu mengisi kekosongan tersebut.

“Tidak kisahlah jika selepas ini orang melabel saya sebagai pelakon wanita aksi, bawa watak ganas, saya okey,” jelas Jasper.

JASPER Supayah sanggup menunggu lama biarpun beberapa singlenya belum ada yang menjadi siulan peminat muzik.

Pengurusan

Terdahulu, nama Jasper pernah panas gara-gara isu tidak sehaluan dengan syarikat pengurusannya sehingga dia membuat keputusan untuk bergerak sendiri.

Ditebak, adakah akan kembali bernaung dengan mana-mana pengurusan selepas ini, Jasper menggelengkan kepala.

“Rasanya lebih senang dan selesa apabila saya bergerak sendiri. Selepas tujuh tahun, sudah cukup pengalaman untuk saya menguruskan diri sendiri.

“Selain itu, saya belajar untuk tidak bergantung dengan orang lain bagi mendapatkan tawaran pekerjaan,” kata Jasper.

Enggan lagi mengungkit kisah silam, Jasper kini hanya mahu memandang ke hadapan bagi memajukan.

“Apa yang lepas biarkan berlalu, itu juga satu pengajaran untuk saya. Tetapi saya percaya rezeki setiap orang itu sentiasa ada jika kita pandai membawa diri.

“Sentiasalah merendah diri walau di mana sahaja berada.

Jagalah etika kerja dan disiplin diri, dengan cara itu rezeki pasti akan hadir,” kongsi Jasper menutup bicara.

JASPER Supayah selesa menguruskan sendiri kariernya tanpa bernaung bawah mana-mana syarikat pengurusan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN