KANVAS seninya masih berstatus hijau. Enam tahun bergelumang dalam dunia lakonan, ternyata banyak sepak terajang industri ditempuhi si kembang bernama Sharifah Rose.
Ada yang mempersoalkan penampilannya yang tidak ‘serius’ bertudung. Ketika sayap seninya sedang berkembang, acapkali juga dia disifatkan sebagai pelakon ‘kayu’.
Namun semua itu tidak mematahkan semangat pemilik nama lengkap Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd Mazfira. Langkah seninya terus ligat berjalan sementelah usaha untuk memajukan kualiti lakonan terus dicernakan.
“Saya setuju, masa mula-mula dahulu, penonton cap saya ‘kayu’ sebab belum selesa hendak bawa watak heroin lagi. Namun, saya cuba buktikan bakat boleh diasah dan digilap.

Kritikan bakar semangat
“Saya percaya bahawa bakat seorang itu boleh digilap dan itulah yang sedang saya lakukan.
“Soal rupa paras bukan menjadi satu masalah. Kalau kita bersungguh-sungguh, cantik atau tidak, itu bukan kekangan untuk menggapai kejayaan dalam industri,” katanya kepada HibGlam, baru-baru ini.
Ditemui usai sesi forum bertajuk Antara Cantik dan Bakat: Di Manakah Pengukuh Kredibiliti? diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Rose bagaimanapun berpendapat, memiliki paras rupa menawan boleh membuka jalan seseorang untuk mula menceburi bidang seni.
“Pada awal pembabitan dalam industri saya sangat risau sebab tiada pengalaman tetapi tetap mahu mencuba. Bagi saya benar rupa boleh jadi pembuka jalan, namun perlulah ada inisiatif untuk terus belajar.
“Saya pernah dilabelkan sebagai pelakon ‘kayu’. Kritikan itu saya jadikan sebagai pembakar semangat dan manfaat untuk perbaiki diri,” katanya.
Jelas pelakon yang mula mencuri tumpuan peminat menerusi drama rantaian, Kekasih Hati Mr. Bodyguard lagi, bukan semua orang dilahirkan dengan bakat semula jadi sebagai seorang pelakon.
Akuinya, itu juga berlaku kepada dirinya, namun tidak bermakna dia hanya berpeluk tubuh dan sekadar menggunakan kecantikan sebagai tiket untuk kekal dalam persada seni tanah air.
“Berlakon adalah proses pembelajaran tanpa henti dan setiap kali mendapat tawaran saya akan pastikan dapat buat lebih baik daripada sebelum ini.
“Sekarang, saya rasa lakonan lebih bertambah baik berbanding semasa mula-mula menceburi bidang seni dahulu,” ujarnya tenang.

Ramai tak ‘kedekut’ ilmu
Semakin matang mengatur langkah dalam seni lakonan, Rose bersyukur kerana dikelilingi rakan artis dan kru produksi yang banyak memberikan bimbingan serta tunjuk ajar dalam lakonan.
“Masa berlakon Kekasih Hati Mr. Bodyguard, Redza banyak bantu saya dan cuba melembutkan ‘kayu’ yang keras dalam diri Rose. Malah, Datuk Jalaluddin Hassan dan Aznah Hamid juga pernah bimbing saya berlakon,” katanya.
Ditanya lakonan masih menjadi kerjaya pilihan atau sudah berbelah-bahagi dengan bidang tersebut, Rose mengakui, dia tidak pernah terfikir masuk dalam industri.
Bahkan menurutnya, semasa mula-mula menceburi bidang seni dan mendapat panggilan menghadiri sesi uji bakat, sehinggalah terpilih sebagai pelakon, dia masih tidak percata sudah bergelar pelakon. Namun, Rose bersyukur perkara yang tidak pernah disangka akhirnya membantu kehidupannya.
“Lakonan ini banyak bantu saya, kalau sebelum ini saya seorang yang pemalu dan susah hendak bercakap dengan orang lain, lakonan meningkatkan tahap keyakinan dalam kehidupan seharian.
“Kalau ada rezeki saya akan terus berlakon,” katanya.
Sedar kekurangan ilmu dalam lakonan, Rose berusaha menuntut ilmu dengan menyertai kelas lakonan sebagai panduan dalam kerjaya.
“Sekarang saya fokus dengan perniagaan terlebih dahulu. Kalau ada masuk set penggambaran baru saya akan sambung semula kelas lakonan,” katanya.
Masih awal untuk meletakkan sebarang sasaran dalam bidang seni, Sharifah berkata, semua anak seni termasuk pelakon muda sepertinya pasti mempunyai hasrat untuk meraih sebarang pengiktirafan.

Ukuran
Bagaimanapun, soal pengiktirafan bukanlah satu ukuran.
Apa yang penting baginya adalah kepuasan terhadap setiap karakter yang lakonan sehingga mendapat respons baik daripada khalayak.
Diajak berbicara tentang lanskap politik negara yang berubah tangan, Rose meluahkan harapan agar masalah rakyat dapat diselesaikan, terutama melibatkan permasalahan banjir yang tidak pernah bernoktah.
“Kawasan rumah saya (Seksyen 13, Shah Alam) selalu banjir. Jadi, wakil rakyat yang menang perlu selesaikan masalah tersebut. Kawasan rumah saya memang selalu banjir,” ujarnya ringkas menggulung perbualan.















