PERCUTIAN ke Terengganu tidak akan lengkap tanpa merasai sendiri pengalaman mencanting atau mewarna batik.
Aktiviti kesenian tersebut merupakan sebahagian daripada budaya dan warisan turun-temurun rakyat negeri Pantai Timur itu yang masih kekal terpelihara hingga kini.
Memang satu pengalaman berharga apabila dapat mendekati gaya hidup masyarakat pada masa dahulu, selain berkunjung ke pulau-pulau peranginan, tasik mahupun merasai kelazatan makanan tradisional di Terengganu.
Peluang tersebut boleh didapati di sebuah lokasi pelancongan terkenal iaitu Lambo Sari yang terletak di Teluk Ketapang, Kuala Nerus.
Melangkah masuk ke Lambo Sari, hati pastinya akan terpaut dengan keindahan seni warisan Terengganu yang menjadi koleksi kebanggaan pemiliknya, Sarinah Said sejak 15 tahun lalu.
Kecintaan wanita berusia 51 tahun itu terhadap kehalusan seni dan budaya Terengganu diterjemahkan dengan penubuhan Lambo Sari yang kini menjadi antara destinasi wajib disinggahi pelancong.

Sarinah berkata, Lambo Sari merupakan pusat interaktif seni warisan untuk komuniti setempat menghasilkan karya dan mencari rezeki sekaligus menjadi muzium hidup bagi pelancong mengenali adat dan budaya Terengganu.
“Pelbagai aktiviti kami sediakan untuk pelancong antaranya menerap batik (menekap blok batik pada kain), mewarna batik, membuat wau, anyaman, tenunan songket dan menghasilkan kuih tradisional.
“Paling istimewa kerana kami turut menyediakan peluang kepada pelancong untuk mengenakan busana tradisional Melayu seperti di zaman silam,” katanya kepada Panorama baru-baru ini.
Sarinah berkata, mereka boleh memilih busana diidamkan seperti seorang putera, puteri atau pahlawan terbilang dengan latar belakang perkampungan Melayu di Lambo Sari sebagai kenang-kenangan berkunjung ke Terengganu.
Bakat semula jadi Sarinah dalam bidang seni warisan Terengganu semakin terserlah apabila turut mampu menghasilkan lukisan rumah tradisional Melayu Terengganu.
Wanita berkelulusan Diploma Seni Bina Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif dan Warisan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) tersebut memberitahu, seni lukis berkenaan merupakan platformnya untuk menzahirkan kecintaannya dalam seni bina Melayu Terengganu.
“Tidak banyak seni bina rumah Melayu yang dikekalkan kerana generasi muda sekarang lebih berminat tinggal di rumah batu lebih moden yang bercirikan Barat.
“Ini antara usaha saya memulihara warisan ini agar dapat menarik semula minat dan jati diri generasi muda untuk menghargai kehebatan pemikiran generasi terdahulu,” ujarnya.

Sarinah memberitahu, setiap binaan dan reka bentuk rumah tradisional Melayu Terengganu mempunyai konsep dan falsafah tersendiri seperti menjaga privasi, aurat anggota keluarga perempuan, aliran keluar masuk angin untuk pengudaraan dan pencahayaan.
Jelas beliau, ia dilakukan tanpa mengenal lelah demi rasa cinta kerana tidak mahu semua warisan seni budaya Terengganu berkenaan hilang dan pudar ditelan masa.
“Lambo Sari sering menerima kunjungan pelajar sekolah dan universiti untuk mendapatkan maklumat interaktif berkaitan seni dan warisan.
“Ia juga menjadi sumber rezeki untuk lebih 20 artis seni dan budaya Terengganu seperti pencanting batik, pesilat, individu yang mahir membuat anyaman mengkuang, pembuat wau dan tenunan songket untuk menjual produk mereka,” katanya.
Sarinah berkata, antara koleksi barangan tradisi yang terdapat di Lambo Sari ketika ini ialah alatan dapur kisaran, penggiling, pengukur kelapa, sarang kuih akok, penganan, periuk dan kuali tembaga, dapur minyak tanah dan sarang membuat batik terap.

di Lambo Sari memberi tunjuk ajar kepada pengunjung tentang seni, budaya dan masakan Melayu Terengganu.
Beliau berkata, kadar bayaran untuk menyertai aktiviti di Lambo Sari juga berpatutan iaitu RM50 bagi setiap individu untuk pakej mini eksplorasi warisan yang merangkumi mewarna dan menerap batik, kukur kelapa, menggiling beras serta membuat kuih tradisional, tepung bunga.
“Setakat ini, kebanyakan pengunjung berpuas hati dengan pengalaman dan kenangan yang mereka cipta sewaktu berkunjung di Lambo Sari,” ujar beliau.
Sarinah berkata, Lambo Sari juga telah menjalin kerjasama dengan sebuah syarikat dari Singapura untuk memasarkan kit batik dan kit wau batik di sekolah rendah dan sekolah menengah di seluruh negara jiran itu.
Ujar beliau, sambutan diterima amat memberangsangkan dengan lebih 30,000 unit terjual dalam kalangan generasi muda di republik berkenaan.
“Berdasarkan maklum balas, mereka sangat mengagumi keindahan warisan negeri Terengganu kerana ia sangat halus dan mempunyai falsafah tersendiri yang rapat dengan alam sekitar.
“Kit batik dan kit wau batik itu juga akan ‘terbang’ ke Korea, Jepun dan Taiwan bulan depan sebagai usaha memperkenalkan lagi kesenian Terengganu ke pentas antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman berkata, tidak banyak lokasi pelancongan di Terengganu yang menjadi pusat sehenti untuk rujukan budaya tradisional yang lengkap dan terperinci seperti Lambo Sari.
“Itulah keunikan Lambo Sari kerana pelancong berpeluang melakukan sendiri semua aktiviti ditawarkan. Konsep pelancongan pengalaman semakin menjadi trend khususnya dalam kalangan anak muda akhir-akhir ini, katanya.
Tambahnya, semua momen ini juga sangat berharga dan sesuai untuk diabadikan dalam bentuk video dan foto yang kemudiannya dimuat naik dalam media sosial.
“Ia menjadi pendedahan dan iklan secara tidak langsung kepada Lambo Sari. Kerajaan Negeri Terengganu juga mengalu-alukan kedatangan kru penerbitan filem atau drama untuk menjalankan penggambaran berlatarbelakangkan lokasi tumpuan pelancong di Terengganu,” katanya.
















