fbpx

Demi anak, Anzalna tolak tawaran ke Australia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ENGGAN menjadi ibu yang mementingkan diri sendiri, Anzalna sanggup menolak tawaran sebuah jenama di Australia.

PETALING JAYA – Pelakon, Anzalna Nasir mengakui sanggup melepaskan tawaran sebuah jenama terkenal di Australia disebabkan belum bersedia meninggalkan anak yang masih kecil dalam tempoh lama.

Katanya, jadual kerjaya seni serta model iklan kini berubah mengikut kesesuaian memandangkan dalam tempoh beberapa tahun terawal ini, dua permata hatinya memerlukan tumpuan penuh.

“Anak-anak adalah segala-galanya buat kami. Apabila mempunyai anak memang semuanya berubah 180 darjah terutama dari segi kerja sudah tak boleh macam dulu. Saya kena pilih kerja.

“Tak boleh ambil semua sebab tak mahu anak kerap ditinggalkan. Kasihan bila fikirkan mereka masih kecil dan saya sendiri suka luangkan masa untuk menunjukkan rasa sayang dan sokongan,” katanya.

Justeru pemilik nama Nur Anzalna Mohd. Nasir, 34, itu mengakui terpaksa menolak tawaran penggambaran sebuah jenama terkenal di negara tersebut apabila memikirkan tentang anak-anaknya.

“Tak rela tinggalkan anak-anak walaupun dua atau tiga hari saja. Ibu saya paksa pergi sebab dia boleh tolong jaga tapi saya tak nak jadi emak dan anak yang mementingkan diri sendiri,” katanya.

Anzalna mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Hanif Zaki pada 21 Februari 2016 dan dikurniakan dua putera Mohamad Eidrees, 3, serta Mohamad Emirhan, enam bulan.

Sebelum ini Anzalna turut memaklumkan lebih selesa menjaga sendiri anak-anaknya berbanding menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada pengasuh.

Malah bintang drama Memori Cinta Suraya itu turut menzahirkan rasa kagum dengan kisah tular semangat seorang ibu yang membawa bersama anak kurang upaya (OKU) buta kekal ketika bekerja sebagai penghantar makanan.

Katanya, semangat wanita yang juga berstatus ibu tunggal itu mencari rezeki tanpa mengenal lelah selain membawa anak bersamanya sangat menyentuh hati dan menyuntik inspirasi.

“Dia seorang ibu yang hebat, bertanggungjawab dan penuh dengan kasih sayang. Semoga Allah permudahkan urusan dan melimpah ruahkan rezeki kakak ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI