SEBUT nama Syafiq Kyle, mudah sahaja aktor berwajah manis itu mengingatkan khalayak terhadap dramatis popular, Mimi Lana.
Cocok benar. Sama cantik dan sama padan, tinggal lagi hari bahagia mereka sahaja yang sering dirisik bilakah menjelang.
Pernah terputus seketika, namun atas persefahaman yang pernah berputik, kisah cinta Syafiq dan Mimi terus berpanjangan bahkan sudah ura-ura bakal melalui gerbang perkahwinan.
Sering diasak dengan persoalan bilakah akan menamatkan zaman bujang, sekali gus menghalalkan Mimi sebagai isteri, Syafiq bagaimanapun agak tertekan.
Ditemui usai sidang akhbar drama fiksyen penyiasatan berjudul One Cent Thief baru-baru ini, Syafiq memohon 10 jari kepada semua pihak agar tidak menjadikan persoalan cinta sebagai fokus penceritaan.

Naik muak dengan cerita sama yang terus diulang-ulang, Syafiq seboleh-bolehnya enggan menimbulkan kekeliruan kepada ahli keluarga tentang impian yang belum diputuskan mana-mana pihak.
“Kalau cakap bab kecewa, ya saya memang kecewa. Tetapi, tidak mengapalah kerana saya enggan panjangkan isu ini (diaju bab pernikahan).
“Buat masa sekarang saya nak fokus bab kerja. Benda ini bukan baharu. Sejak awal tahun saya kerja sampai sekarang, banyak drama dan naskhah yang saya sertai.
“Tiap kali saya hadir untuk promosikan naskhah tersebut, balik-balik soal perkahwinan juga yang diberi perhatian.
“Jadi macam mana dengan drama saya,” ujarnya jujur.
Tidak bermaksud untuk menghentam mana-mana pihak, Syafiq atau nama sebenarnya Mohd. Syafiq Shamim Abdul Razak berkata, dia bukanlah menyalahkan media secara melulu, tetapi mengakui sedikit kecewa dengan situasi yang menimbulkan rasa serba salah dalam dirinya.
Sabar
Merungkai sedikit segala persoalan mengenai perkahwinan yang bersarang dan sentiasa diaju ramai, pelakon drama fenomena Nur itu mengakui sedang dalam perancangan ke arah tersebut.
“Saya tak boleh nak cakap lebih, apa boleh dikatakan, saya ‘work on silent’. Itu fasa yang sedang saya lalui sekarang.
“Pasti dan sudah tentu saya nak menjadi ketua keluarga, suami dan ada anak-anak. Bila tarikh itu, saya belum berani nak cakap atau berjanji kerana masih merancang.

“Saya tak nak letakkan sebarang tarikh. Apa yang boleh saya kata setakat ini, tolong doakan. Doakan kerja saya lancar untuk atur perkara ini (perkahwinan),” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai tentang percintaan mahupun perancangan perkahwinan.
Tutup soal kahwin, perbualan kemudian terheret tentang drama terbaharu lakonannya yang sedang hangat ditayangkan kini.
Pening, terbeban
Ujar Syafiq, drama lapan episod yang diinspirasikan daripada kisah benar yang pernah berlaku di negara berhubung rompakan wang satu sen itu benar-benar memenatkan fikirannya.
“Drama bersiri berjudul One Cent Thief ini sudah pun ditayangkan menerusi platfrom Astro bermula 8 Oktober lalu.
“Mungkin ramai tidak tahu, watak saya sebagai eksekutif bank itu sebenarnya adalah daripada kisah sebenar yang berlaku sekitar 1990.

“Orang itu berjaya memindahkan wang satu sen setiap hari daripada akaun pengguna bank tempatnya bekerja ke akaun lain hingga berjaya mengumpul sebanyak RM41 juta.
“Sebelum masuk ke set, saya dan pihak produksi berjumpa sendiri individu terbabit untuk menjiwai karakternya,” kata Syafiq.
Tidak setakat itu, Syafiq mengakui, watak Iman Shah yang dibawakannya itu antara yang paling mencabar pernah dilakonkan setakat ini.
“Menerusi watak Iman Shah, saya akui ini karakter paling mencabar dan agak terbeban pernah saya buat.
“Awalnya, banyak perkara yang memeningkan kepala saya sepanjang penggambaran.
“Banyak juga perkara saya kena belajar supaya hasilnya nanti tidak dipersoalkan oleh penonton kerana melibatkan pelbagai terma teknikal berkaitan sistem perbankan serta teknik godaman,” tutupnya.














