SHAH ALAM – Keperitan lima tahun menjalankan perniagaan dari rumah tidak sesekali melunturkan semangat Suhaida Saad untuk berjaya.
Pengasas kopi aprikot APCEL Cafe itu kini bukan saja memperoleh jualan lebih RM1 juta sebulan, malah bakal membuka kilangnya sendiri pada masa depan.
Di sebalik kejayaan jenama syarikat Apcel Beauty & Health Sdn. Bhd. (APCEL) itu, Suhaida, 39, atau dikenali sebagai Sis Aida telah menempuh pelbagai episod suka duka dalam perniagaan sejak tahun 2015.
Anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu berkata, idea menghasilkan kopi istimewa berkenaan tercetus selepas menyedari khasiat aprikot daripada abangnya yang menuntut di England.
“Pada waktu itu, abang saya sentiasa membawa kapsul kesihatan aprikot untuk membantu meningkatkan kesihatan bapa kami.
“Amalan makan kapsul itu menunjukkan hasil positif dan saya terus menjadikan aprikot sebagai ramuan utama produk pengeluaran kami,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Suhaida menerangkan, segala kejayaan yang dicapai kini bukan mudah tanpa sokongan daripada suaminya, Mohd. Zaidi Abdul Ghani, 39.
“Bermodalkan RM5,000, kami pada peringkat awal berusaha untuk menghasilkan produk di rumah dengan pembungkusan yang dibuat hanya menggunakan kotak biasa.
“Bagi ikhtiar awal, kami menjadikan kenalan selaku pelanggan utama sebagai asas perolehan jualan sehingga berkembang kepada perluasan pasaran pada tahun 2019 sebelum kami mengambil ejen untuk menyokong operasi seterusnya,” kata ibu kepada seorang anak itu.
Tambah Suhaida, APCEL Cafe yang diformulasikan daripada aprikot, ganoderma, habbatus sauda dan tongkat ali itu terus mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan sehingga kini.
“Selain itu, syarikat mempunyai empat lagi produk iaitu APCEL Coco, Apricot Tablet, pencuci muka dan serum kecantikan,” katanya.
APCEL yang beribu pejabat di Taman Vistana Indah, Alor Setar itu kini semakin berkembang pesat dengan mempunyai seramai 25,000 ejen di seluruh negara.
Syarikat tersebut menyasarkan perolehan jualan berjumlah RM20 juta setahun sekali gus meningkatkan usahanya untuk membuka kilang pengeluaran sulungnya di daerah sama tidak lama lagi.
“Bahan produk kami terutama aprikot dimport dari Amerika Syarikat selain ramuan lain dari China, India dan Indonesia.
“Kami memformulasikan semua produk sendiri dan menyasarkan pasaran luar negara termasuk Arab Saudi selepas pembinaan kilang siap kelak,” kata Suhaida.
Dalam era pertumbuhan pantas perniagaannya, anak kedua daripada tiga beradik itu tidak terlepas juga daripada menghadapi masalah berkaitan produk jualannya ditiru dengan tawaran jualan lebih murah di platform online.
“Kopi aprikot kami mula diciplak sejak awal tahun ini sehingga ada pengguna yang mengalami masalah kesihatan seperti cirit- birit dan muntah.
“Perkara itu sudah dilaporkan kepada pihak berkuasa dan sebagai usaha agar perkara tersebut tidak berulang lagi, kami akan membuat hologram selain sentiasa menukar pembungkusan produk,” katanya.
Dalam pada itu, Suhaida berkata, APCEL masih kekal melantik ahli sukan, Sazali Samad sebagai duta syarikat itu buat tahun kedua.
“Beliau dipilih kerana bertepatan dengan tema ‘Sedap dan Ummpp’ bagi kopi kami yang berkonsepkan menambah tenaga.
“Selain itu, Sazali juga merupakan pengguna tegar produk kami sekali gus menjadi testimoni terbaik kepada pelanggan,” katanya. -KOSMO! ONLINE