PETALING JAYA – Penduduk sekitar Puncak Alam mendakwa mereka terdengar bunyi ketukan misteri di pintu rumah mereka antara pukul 2 hingga 3 pagi.
Menerusi komen-komen dikongsikan penduduk Puncak Alam, ada yang mendakwa terdengar bunyi ketukan misteri itu, namun mereka tidak berani membuka pintu untuk melihatnya.
“Kecoh dah orang ketuk pintu 2 hingga 3 pagi sekitar Puncak Alam. Orang kata ‘gula-gula’ (merujuk hantu pocong) ye ke?,” kata pengguna Thread Balkissalleh yang kemudiannya menerima pelbagai maklum balas penduduk Puncak Alam.
“Dah dekat 1 Muharam, biasa orang nak uji ilmu. Kalau ada orang ketuk, jangan sesekali buka pintu atau keluar rumah,” komen seorang pengguna Thread Aleeyaadrianaaaa.
“Ini betul, kita jangan buka pintu, mungkin ‘dia’ cari tuan baharu kot. Seram betul ketuk ‘dia’, bukan main gegar pintu belakang kita masa tengok. Meremang semua jangan tanya, memang sampai ke pagi,” dakwa Amoiishayang.
“Dalam group (kumpulan WhatsApp) kami pun kecoh. Kami rumah tinggi kat Puncak Bestari, yang kena tu tingkat dua, tujuh, 11 dan 14,” dakwa Nisazahan.
“Saya pun kena. Pagi semalam sekitar pukul 3 pagi, dengar ketukan kuat sampai terjaga daripada tidur. Pergi periksa kat ruang tamu tak ada apa. Nak buka pintu depan tu tak berani,” kata Bellalullabies. – KOSMO! ONLINE














