TAHUN lalu, Nadia Brian menyorot perhatian ramai apabila rumah tangga yang dibina hampir tiga tahun usianya musnah begitu saja. Enggan terus larut dalam episod duka tersebut, dia bingkas bangkit mewarnakan semula karier seni, pada masa sama menepis segala persepsi negatif tentang status janda yang dipikulnya.
Kali terakhir menghiasi sisipan Pose sekitar Mac tahun lalu. Ramah dan jelita wanita berusia 31 tahun itu kekal sama, namun cuma statusnya yang kini berubah.
Anak kelahiran Kangar, Perlis itu kini sepertinya semakin matang, barangkali juga kerana pengalaman hidup dan episod duka yang pernah dilalui.
Anggun dalam persalinan gaun pendek warna hijau pucuk pisang dan biru rekaan Khoon Hoi, dia yang juga berdarah kacukan Malaysia-Australia memandang kehidupannya pasca perceraian sangat tenang dan kini lebih teratur.

Pasca perceraian
Meskipun begitu, pemilik nama penuh Nadia Najwa Mohamed Rashidi itu mengakui status janda yang dipegangnya sejak setahun lalu bukanlah satu hal yang harus dijulang.
“Setakat ini, semuanya berjalan dengan baik. Jika bercakap tentang kehidupan selepas cerai, status janda bukan sesuatu yang harus jadi kebanggaan.
“Meskipun tidak malu dengan status ini, namun saya tidaklah bermegah dengannya,” tuturnya.
Seiring masa berlalu, Nadia bersyukur kerana tohmahan yang banyak dilemparkan kepadanya sebelum ini semakin berkurangan.
“Saya perhatikan, semakin kurang menerima komen-komen negatif mengenai status saya. Mungkin kerana saya tidak layan dan biarkan saja mereka berkata-kata,” katanya.
Terbuka untuk menjawab mengenai penampilan yang dikatakan semakin seksi, pelakon berusia 31 tahun itu menganggap hal tersebut sebagai simbol kematangannya.

Pelakon drama Aku Yang Kau Gelar Isteri itu berpendapat faktor usia yang semakin bertambah juga antara sebab dirinya dilabel sebagai seksi.
“Saya masih individu yang sama, tiada yang berubah pun. Mungkin disebabkan semakin berumur, sisi kewanitaan juga semakin terserlah.
“Penampilan dahulu mungkin seperti budak-budak, manakala sekarang penampilan lebih matang,” katanya.
Dia juga tidak menolak perhatian yang diraihnya selama ini terutama berkaitan kehidupan peribadi disebabkan status janda.
“Boleh jadi ini nasib seorang wanita apabila memegang status janda. Apabila jadi janda, semua perkara timbulkan perhatian dan dikecam.
“Bagaimanapun saya cakna dengan perhatian yang diberikan orang sekeliling. Selain status, faktor tiada anak juga mencetuskan pandangan berbeza kepada saya,” ujarnya.
Selektif
Usai perbualan melingkari perihal peribadi, pelakon drama Titian Takdir itu mengakui agak selektif dalam watak lakonannya.
“Saya bukan pelakon yang cerewet, namun harus buat pilihan tepat agar mampu memberi warna terhadap karakter diberikan.
“Bukan juga mengelak pegang watak sama tetapi perkara tersebut memang setiap pelakon akan lakukan untuk mewarnakan lagi perjalanan sebagai seorang anak seni,” ujarnya.

Dalam pada itu, sebagai anak seni yang belum puas mengejar cita-citanya, Nadia mengimpikan untuk berkarya dalam filem bergenre biopik.
“Saya sukakan cabaran, harapnya impian saya untuk berlakon dalam filem biopik tentang seorang legenda tokoh atau naskhah epik.
“Mungkin untuk ke arah tersebut ambil masa, namun saya tak akan pernah putus asa untuk menambah baik mutu lakonan sekali gus membawa kesohoran kepada siri sendiri,” kata bintang filem Eva arahan sutradara Suhaiza Aziz itu yang berjaya memenangi pertandingan bulanan kategori thriller dan saspens anjuran Festival Filem Cannes 2023 pada Julai lalu.














