Apa had-had seseorang Muslim boleh berurusan dengan anjing?
Jawapan:
Muslim boleh menggunakan anjing atas keperluan syar’ie iaitu untuk membantu urusan kehidupan seperti memburu, menjaga ternakan, mengesan jenayah atau barang dan seumpamanya.
Keizinan ini bersumberkan al-Quran dan Sunnah.
Memelihara anjing tanpa keperluan syar‘ie dalam urusan kehidupan adalah dilarang. Ini disebabkan kesan najis, hospitaliti, gangguan ibadah, hubungan antara keluarga, kejiranan dan seumpamanya. Terdapat hadis sahih yang melarang perkara ini.
Menjadi doktor haiwan (veterinar) yang merawat anjing bukan satu kesalahan, bahkan ia satu perbuatan yang baik. Dalam hadis yang sahih menyebut, seorang pelacur diampuni oleh Allah kerana memberi minum kepada anjing.
Menjadi jurulatih yang mengajar anjing seperti untuk memburu, mengesan barangan, penjenayah dan seumpamanya adalah merupakan pekerjaan yang syar’ie seperti yang terdapat dalam surah al-Maidah ayat 4.
Ulama fekah (fuqaha) berbeza pendapat tentang sentuhan anjing yang basah. Antara pandangan utama mazhab-mazhab tersebut ialah :
a) Sentuhan anjing yang basah atau lembab wajib dibasuh tujuh kali iaitu enam kali air mutlak dan satu kali air tanah.
b) Jilatan anjing sahaja yang wajib dibasuh sebanyak tujuh kali tersebut.
c) Basuhan sebanyak tujuh kali tersebut tidak diwajibkan tetapi berpahala jika melakukannya.
Oleh kerana nas hadis menyebut jilatan anjing hendaklah dibasuh sebanyak tujuh kali termasuk satu kali air tanah, maka mengehadkan kewajipan tersebut kepada jilatan anjing sahaja adalah pendapat yang dipilih dalam fatwa ini.
Pendapat ini telah disebutkan oleh al-Mutawalli dan al-Rafi’ie dalam mazhab Syafi‘ie dan dianggap kuat oleh al-Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’.
Justeru, jika diyakini jilatan anjing terkena pada bekas, diri, pakaian, tempat atau apa-apa barangan hendaklah dibasuh sebanyak tujuh kali termasuk salah satunya dengan air tanah.
Bahan-bahan pencuci lain sebagai gantian bagi air tanah hanya boleh digunakan jika penggunaan air tanah boleh mendatangkan kerosakan, kerugian harta atau ketiadaan tanah.
Kewajiban membasuh barangan terkena najis anjing ini jika barangan terbabit hendak digunakan bagi tujuan ibadah atau untuk kegunaan makan dan minum.
Jika sentuhan itu berlaku dalam keadaan kering pada yang menyentuh dan yang disentuh, maka hukum basuhan tersebut tidak diwajibkan berdasarkan kesepakatan ulama.
Adapun anjing yang memudaratkan manusia boleh dilupuskan. Ia termasuk dalam senarai haiwan yang boleh dibunuh yang disebut dalam hadis sahih.














