Kucing merupakan haiwan jinak dan comel yang sering menjadi pilihan sebagai binatang peliharaan.
Kucing juga mampu menjadi peneman, khususnya bagi individu yang mungkin tinggal berseorangan.
Namun, keputusan untuk menjadikan kucing sebagai haiwan peliharaan perlu dibuat bersama persediaan dan ilmu yang cukup, kerana banyak faktor perlu diambil kira bagi memastikan ia kekal sihat.
Minggu ini, Horizon berkongsi kaedah-kaedah penjagaan kucing bagi mereka yang berminat untuk berbuat demikian.
1. Ambil tahu kos penjagaan
Menjaga kucing umpama menjaga seorang manusia, yang mana pemiliknya perlu mengambil tahu dan menyediakan bajet rawatan dan penjagaan diri seperti pemberian vaksin, ubat-ubatan dan juga produk penjagaan diri seperti syampu dan sebagainya.
Sebaagi contoh, anak kucing berusia kurang dari enam bulan perlu diberi vaksin sebanyak tiga kali untuk tahun pertama.
Justeru, pemilik kucing haruslah mengambil tahu dos-dos vaksin serta kekerapannya bagi memastikan haiwan itu kekal sihat.
2. Pemakanan yang sesuai
Makanan kucing terdiri daripada jenis pejal atau separa pejal dan juga keras yang dipanggil kibble.
Jika kucing anda berusia empat minggu ke atas, ia sudah bersedia untuk diberikan makanan pejal.
Bagi kucing dewasa pula, boleh menjamah makanan keras.
Adakalanya, kucing tidak sesuai atau tidak mahu makan sesetengah jenis makanan.
Sebagai pemilik, anda perlu sentiasa ambil tahu dan mencuba beberapa jenama makanan yang berbeza untuk kucing anda.

3. Berinteraksi, bermain dengan kucing
Kucing merupakan haiwan sosial dan perlu berinteraksi bersama pemiliknya.
Apabila anda mengambil keputusan untuk membela kucing, anda perlu memberikan perhatian dan membelainya dengan penuh kasih sayang.
Selain itu, anda juga boleh menyediakan permainan khas untuk kucing yang boleh digunakan oleh haiwan itu untuk bermain di kawasan rumah.
4. Pemeriksaan veterinar
Kucing perlu dibawa untuk menjalani pemeriksaan veterinar bagi memastikan anda tahu tahap kesihatan serta rawatan yang sesuai buatnya.
Pemeriksaan kesihatan yang awal boleh mengelak kucing anda terkena penyakit yang tidak diingini.
Veterinar juga dapat membantu dari segi penjagaan kutu dan kebersihan anak kucing dengan memberi ubat antikutu agar ia kekal sihat dan bersemangat sepanjang hari.

5. Sediakan tandas, ruang tidur selesa
Kucing memerlukan ruang membuang najis atau tandasnya sendiri bagi mengelakkannya membuang najis merata-rata, yang pastinya akan membuatkan anda berasa rimas dan tidak selesa.
Selaku pemilik baharu, pastikan anda menyediakan ruang tandas mengikut keluasan yang sesuai dengan bilangan kucing yang dipelihara serta ruang kediaman anda.
Selain ruang pembuangan najis, pemilik juga harus menyediakan mangkuk makanan dan minuman yang sesuai untuk kucing, selain ruang tidur yang selesa.

PENYEDIAAN ruang tandas khusus penting bagi memastikan kucing tidak membuang najisnya merata-rata.















