PETALING JAYA – Kegagalan menguruskan kewangan ketika masih bekerja menyebabkan ramai yang diusia pencen masih terpaksa bekerja bagi menampung simpanan hari tua mereka.
Pensyarah Kanan Bahagian Ekonomi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Abdul Rais Abdul Latiff berkata, trend itu dilihat semakin membimbangkan kerana ia bakal membebani masyarakat pada masa akan datang.
Menurut Dr. Abdul Rais, sepatutnya pada usia pencen mereka menikmati usia tua dengan berehat bersama ahli keluarga dan bukannya masih mengerah keringat serta membanting tulang untuk bekerja.
“Jika kita lihat, ramai sebelum ini yang telah membuat pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui beberapa pengeluaran khas dan ada antara mereka mengeluarkannya bukan untuk keperluan.
“Sepatutnya, jika tiada keperluan mendesak tidak perlu ‘diusik’ simpanan tersebut kerana pada usia pencen nanti banyak perkara yang memerlukan dana daripada simpanan tersebut,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Tambahnya, antara keperluan selepas pencen adalah simpanan untuk hal kecemasan seperti perubatan, makan minum dan jika masih ada tanggungan perlu untuk menyara mereka.
Katanya, kebanyakan masyarakat kita ketika ini tidak memikirkan soal itu dan mereka banyak menghabiskan simpanan untuk kegunaan dan kesenangan masa sekarang.
“Padahal simpanan itulah nanti yang akan menjadi backup untuk mereka pada masa hadapan,” katanya.
Dr. Abdul Rais berkata, berdasarkan kajian terkini, seseorang individu berpencen memerlukan sekurang-kurangnya RM240,000 simpanan semasa mereka pencen.
“Saya yakin ramai yang tidak mempunyai simpanan sebanyak itu semasa pencen jika mereka gagal menguruskan simpanan KWSP ketika ini,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE















