fbpx

New Orleans ‘ibu kota pembunuhan’ Amerika Syarikat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peningkatan kadar jenayah di New Orleans menyebabkan perbelanjaan pelancongan di Bourbon Street dan tarikan tempatan yang lain kekal 27 peratus di bawah paras pra-pandemik. - Getty Images / Sean Gardner

WASHINGTON – New Orleans di negeri Louisiana yang merupakan antara bandar pelancongan paling popular di Amerika Syarikat (AS), diberikan gelaran tidak diingini sebagai ‘ibu kota pembunuhan’, lapor laman berita RT kelmarin. 

Peningkatan mendadak kes jenayah dan kelemahan penguatkuasaan undang-undang menyaksikan New Orleans merekodkan kadar pembunuhan tertinggi di AS, jauh lebih tinggi daripada mana-mana bandar yang dilanda keganasan seperti St. Louis, Chicago serta Bandar Raya New York.

Berdasarkan data Suruhanjaya Jenayah Metropolitan New Orleans, sebanyak 205 kes pembunuhan direkodkan di kota raya itu sepanjang 2022. 

Jumlah itu meningkat 141 peratus daripada kadar sebelum pandemik Covid-19 dan 46 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama 2021.

Kadar pembunuhan di bandar itu adalah sebanyak 52 kes bagi setiap 100,000 penduduk, mengatasi St. Louis yang sebelum ini merekodkan jumlah kes pembunuhan paling banyak iaitu 45 kes bagi setiap 100,000 penduduk setakat tahun ini.

Kadar jenayah pembunuhan di New Orleans tahun ini juga lebih tiga kali ganda lebih tinggi berbanding di Chicago yang merupakan antara bandar AS paling terkenal dengan keganasan senjata api.

Sebagai perbandingan, Bandar Raya New York mempunyai kadar pembunuhan cuma 3.5 bagi setiap 100,000 penduduk, namun kadar jenayah itu di New Orleans adalah hampir 15 kali ganda lebih tinggi.

Dalam pada itu, kes curi kereta di New Orleans pula melonjak tiga kali ganda daripada tahap sebelum pandemik, manakala insiden tembakan turut meningkat dua kali ganda. 

Disebabkan jabatan polis di bandar raya itu kekurangan anggota, purata masa tindak balas bagi panggilan kecemasan ialah 2.5 jam, demikian menurut satu kajian baru-baru ini.

Seorang juruwang sebuah kedai runcit Vietnam, Nhu Vuh, 40, memberitahu bahawa apabila dia menghubungi polis selepas seorang gelandangan yang marah menyerangnya, anggota polis tidak muncul sehingga keesokan harinya.

Kadar perletakan jawatan polis di bandar raya itu lebih cepat berbanding pengambilan anggota baharu. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI