SELAIN burger, antara menu lain berasaskan daging yang cukup digemari rakyat Malaysia adalah sosej kerana rasanya lazat dan teksturnya yang kenyal.
Berbanding burger, tidak banyak kedai sosej, khususnya buatan sendiri (homemade) dan gourmet yang boleh didapati di negara ini, menjadikan peminat menu tersebut mempunyai pilihan yang agak terhad.
Minat terhadap menu itu kemudian mendorong dua sahabat membuka sebuah rangkaian gerai menjual sosej bernama Sausage Sizzle di ibu kota yang menawarkan sosej buatan sendiri.
Nazri Adam Abdul Kassim, 28, dan Steve Ngeu, 30, menubuhkan Suasage Sizzle, gerai yang hanya menawarkan menu sosej dengan pelbagai perisa.
Menurut Nazri Adam, biarpun hanya menawarkan satu menu utama, keunikan sos dan topping yang istimewa padanya menjadikan Sausage Sizzle menjadi bualan ramai selepas ia tular.
Orang ramai sanggup beratur panjang untuk menikmati hidangan berkenaan.

PELANGGAN boleh memilih sendiri topping dan gabungan sos untuk sajian sosej ini.
“Kami memulakan perniagaan ini pada Mac 2019, namun tidak lama kemudian, terpaksa menutupnya akibat pandemik Covid-19.
“Selepas melakukan penstrukturan semula, pada September 2020, kami membuka cawangan pertama di Bukit Jelutong, Selangor sebelum membuka dua lagi cawangan di Bandar Baru Bangi dan Taman Tun Dr. Ismail,” ujarnya.
Sausage Sizzle menawarkan tiga jenis sosej yang boleh dicuba iaitu daging kambing, daging lembu dan juga ayam.
Apa yang menjadikan sosej ini cukup istimewa adalah, ia boleh diubah suai mengikut cita rasa pelanggan.
“Bagi mencipta kelainan, kami menawarkan pelbagai topping istimewa yang boleh dipilih seperti beef bacon dan juga cheese melt atau keju yang dicairkan di atas kepingan sosej.
“Selain itu, pelanggan juga boleh memilih beberapa jenis sos untuk diletakkan di atas sosej,” katanya.

Setiap hidangan disajikan bersama kepingan bawang karamel yang pastinya menambahkan lagi keenakannya.
Antara menu signatur dan wajib cuba di Sausage Sizzle adalah smokey bacon with honey mustard dan juga sosej cheese melt yang kaya dengan limpahan keju cair di atasnya.
Ujar Nazri, dia merancang untuk menambah lebih banyak pilihan menu kepada pelanggan dalam masa terdekat.
“Pada ketika ini, pilihan menu kami mungkin masih kelihatan agak terhad dalam kalangan pelanggan.
“Ini kerana bagi kami, pilihan menu yang terhad membolehkan kami lebih mudah mengawal kualiti setiap sajian yang ditawarkan.

“Bagaimanapun, untuk berdaya maju, kami perlu lebih kreatif dalam menambah menu yang ada,” kongsinya.
Harga bagi setiap menu sosej bermula daripada RM8 sehingga RM16 mengikut jenis.
Sausage Sizzle dibuka setiap Rabu hingga Ahad pada pukul 6 petang sehingga 11 malam.














