PETALING JAYA – Industri barang kemas di negara ini begitu popular semasa tempoh pandemik lantaran nilainya yang menyusut sehingga meningkatkan permintaan, selain disokong faktor keselesaan masyarakat yang memiliki jumlah tabungan lebih tinggi kerana tidak perlu membayar komitmen bulanan hasil langkah kerajaan menawarkan moratorium.
Impak pandemik memberi rahmat kepada pemain dalam industri tersebut dan sehingga kini banyak syarikat terus mengukuhkan jualan syarikat meskipun masyarakat berdepan dengan cabaran dalam peningkatan kos sara hidup ekoran pelbagai faktor semasa.
Di utara Semenanjung khususnya Pulau Pinang, salah satu syarikat yang terkenal di pulau mutiara adalah Foo Bao Sdn. Bhd. (Foo Bao) yang telah ditubuhkan pada tahun 2017 dengan matlamat serta misi utamanya untuk mencipta revolusi dalam pasaran barangan kemas di negara ini.
Ini dapat dilihat daripada usaha syarikat baru-baru ini yang semakin aktif mempromosikan produk dan perkhidmatannya dengan menyertai Pameran Signature Emas dan Barang Kemas di Pusat Konvensyen Setia Spice, Pulau Pinang dengan sasaran jualan selama tiga hari itu kira-kira RM2 juta.
“Kami terkenal dengan jolokan nama sebagai pengeluar koleksi barang kemas luar biasa di pasaran dan kami mahu meneruskan trend tersebut, malah mahu menjadi pencipta revolusi dan peneraju masa depan dalam industri emas Malaysia,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Foo Bao, Foo Chai Luen menerusi temu bual secara maya baru-baru ini.

KOSMO!: Foo Bao, salah satu syarikat yang terkenal di Pulau Pinang selama ini, boleh jelaskan perkembangan terbaharu syarikat?
Foo Chai Luen: Permintaan terhadap barangan kemas semakin meningkat bukan sahaja dalam tempoh pandemik tetapi juga kami semakin sibuk dalam fasa peralihan endemik ini.
Kami sangat teruja dengan program yang diceburi baru-baru ini iaitu Pameran Signature Emas dan Barang Kemas di Pusat Konvensyen Setia Spice di Pulau Pinang.
Kami telah memperagakan koleksi kemas eksklusif terbaharu yang bakal mendapat perhatian pasaran selepas ini.
Koleksi kami menjadi tarikan pengunjung dan ia terbukti apabila dalam tempoh sehari pameran tersebut, syarikat sudah berjaya menjual barang kemas hampir dua kilogram (kg).
Sasaran jualan untuk tempoh tiga hari sepanjang pameran tersebut adalah sehingga RM2 juta.
Kami gembira dengan sambutan baik yang diterima daripada pengunjung meskipun masyarakat berdepan dengan tempoh sukar ekoran peningkatan kos taraf hidup.
Bersempena pameran tersebut, adakah syarikat melancarkan koleksi baharu?
Inisiatif kami adalah untuk mereka bentuk semula, menginovasi produk baharu dan meningkatkan imej jenama serta korporat sedia ada kami agar ia dapat membantu syarikat dalam membina keyakinan dan pengiktirafan pengguna terhadap produk kami.
Oleh itu, kami mengambil peluang ini untuk melancarkan koleksi Only You dan ia adalah jenama tempatan revolusi baharu yang bertujuan untuk menyampaikan produk bergaya dengan menyatakan rasa keanggunan dan kemurahan hati.
Kami percaya bahawa produk ini bukan sahaja simbol yang paling sempurna untuk menyampaikan rasa cinta, tetapi juga tanda yang indah untuk mewarisi cinta dan kasih sayang.

Apa kelainan yang dibawa dalam sesi pengenalan koleksi baharu ini?
Kami telah memilih usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida sebagai wajah selebriti untuk memperagakan barang kemas jenama tempatan Only You.
Ia bertujuan untuk meningkatkan populariti penjenamaan barang kemas ini. Beliau adalah seorang individu yang unik dan terkenal di negara ini, malah beliau juga sinonim dalam memperagakan barang perhiasan berharga di media sosial sebelum ini.
Sempena majlis itu, Vida telah menggayakan barang kemas berharga RM1 juta.
Apa sasaran syarikat untuk jualan koleksi Only You?
Kami menyasarkan jualan sehingga RM2 bilion melalui koleksi unik ini dan kami optimis, nilai tersebut mampu dicapai kerana pada pameran itu sahaja jualan tersebut telah mencecah lebih daripada RM500,000.
Apa perancangan masa depan syarikat?
Semasa merangka pelan pengembangan syarikat, kami berhasrat untuk mencipta lebih banyak koleksi barangan mewah yang akan dapat menguasai industri dan pasaran emas domestik serta menembusi pasaran antarabangsa.
Dalam masa beberapa tahun lagi, kami percaya bahawa syarikat ini akan menjadi peneraju masa depan industri emas di Malaysia. -KOSMO! ONLINE














