PETALING JAYA – Keliru, terkilan dan tertanya-tanya. Itu persoalan yang bermain dalam pemikiran pelakon Johan As’ari apabila syarikat penerbitan Studio Kembara menggugurkan namanya daripada senarai delegasi filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan ke malam gala filem tersebut di Jakarta, Indonesia pada 26 Ogos ini.
Johan atau nama lengkapnya Johan Ariff As’ari turut menganggap perkataan ‘digugurkan’ seperti yang dimaklumkan oleh pihak penerbitan itu kedengaran tidak manis selain boleh menimbulkan salah faham.
“Baru-baru ini pengurus saya memberitahu pihak Studio Kembara memaklumkan bahawa nama saya telah digugurkan daripada senarai pelakon yang akan diterbangkan ke Jakarta untuk malam gala di sana.
“Saya tertanya-tanya kenapa mereka (Studio Kembara) menggunakan perkataan ‘digugurkan’? Mungkin ada perkataan lain yang lebih indah boleh digunakan,” ujarnya kepada Kosmo! Online.
Bagaimanapun, Johan yang memegang watak sebagai Yasin dalam filem epik tersebut cuba bersangka baik dengan keputusan itu apabila menganggap pihak penerbit mungkin berfikir dia terasa berat hati untuk pergi ke sana (Jakarta).
“Saya anggap perkara itu kelakar dan tidak profesional. Tapi saya okey jika tidak ke Jakarta. Kalau pihak sana (Indonesia) sendiri menjemput saya, alhamdulillah, saya sanggup keluarkan belanja sendiri untuk ke sana,” katanya.
Johan, 36, sebelum ini ada meninggalkan komen pada hantaran pelakon utama filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Datuk Adi Putra yang membayangkan dia seolah-olah menyokong tindakan pelakon tersebut untuk tidak pergi ke Jakarta selepas berlaku salah faham bersama Studio Kembara.
“Kalau abang Kilau tidak hadir ke Malam Gala Mat Kilau di Jakarta, Yasin berat hati untuk ke majlis tersebut,” tulisnya.
Johan yang ditemui di majlis Tayangan Perdana filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa di GSC Mid Valley memberitahu dia sentiasa menyokong keputusan yang dibuat oleh Adi Putra dan menganggap pelakon itu sebagai abangnya dalam industri. – KOSMO! ONLINE