KUALA LUMPUR – Banyak cerita tidak benar, anak kepada Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab, Nasir menyangkal kenyataan melencong penyanyi, Uji Rashid terhadap bapanya dalam sebuah audio siar, baru-baru ini.
Nasir, 64, juga tidak faham dan mempersoalkan motif penyanyi terbabit berbuat demikian selain menyifatkan kenyataan tersebut tidak berasas malah mengguris hati seluruh ahli keluargan arwah yang masih hidup .
“Secara jujurnya, saya sebagai ahli keluarga, kami memang terasa dengan apa diperkatakan. Sepatutnya perkara seperti itu tidak berlaku kerana tidak benar.
“Orang akan lebih hormat jika bercakap perkara betul. Saya sendiri tidak faham kenapa perlu mereka-reka cerita seperti itu,” katanya kepada Kosmo! Online.
Mengulas lanjut perkara itu, Nasir menegaskan kenyataan penyanyi era 70-an itu bukan sahaja mengarut malah boleh mencetuskan persepsi negatif terhadap insan yang sudah tiada.
“Memang tidak patut. Tindakan itu seolah-olah membuka aib orang telah meninggal dunia. Bukan sahaja bapa saya, malah nama beberapa artis lain seperti Allahyarham Datuk Sharifah Aini dan Broery Marantika turut disebut.
“Bagaimana hendak perbetulkan keadaan sedangkan mereka sudah tiada untuk menjawab? Jadi janganlah bercakap perkara tidak benar,” ujarnya.
Paling penting kata Nasir, jasa besar Allahyarham dalam industri muzik tidak wajar dipersoalkan apatah lagi diputarbelitkan.
“Ramai tahu arwah banyak membantu menaikkan nama penyanyi termasuk dirinya. Antara karya memberi impak besar ialah lagu Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu.
“Memang ada kisah di sebalik lagu itu, tetapi apa diceritakan telah diputarbelitkan,” jelasnya pada Majlis Pelancaran Buku Sentuhan Emas Lagu-Lagu Terbitan Allahyarham Tan Sri Dr Ahmad Nawab di sini, baru-baru ini.
Nasir turut mendedahkan pihak program audio siar tersebut ada menjemputnya untuk memberi penjelasan balas, namun dia memilih untuk tidak memanjangkan isu tersebut.
“Saya tidak nampak keperluan untuk memanjangkan isu ini. Bagi saya, tiada manfaat untuk terus membesar-besarkan perkara ini.
“Saya cuma harap isu ini tidak diperbesarkan lagi. Biarlah diselesaikan secara baik tanpa timbul lebih banyak salah faham,” tuturnya.
Sebelum ini, Uji menerusi temu bual audio siar berkongsi pengalaman bekerjasama dengan beberapa figura besar industri muzik termasuk Allahyarham Ahmad Nawab.
Dalam perkongsian tersebut, penyanyi itu mendakwa komposer legenda berkenaan pernah menyifatkan dirinya sebagai tidak mengenang budi, sekali gus memberi gambaran hubungan mereka tidak begitu baik. – KOSMO! ONLINE.














