PETALING JAYA – Semangat kesukanan serantau atau ‘SEAblings’ jelas terserlah di garisan permulaan acara HAIER Women’s Day Run 2026 apabila pelari elit dari Asia Tenggara berhimpun mempamerkan keupayaan masing-masing dalam larian 10 kilometer (km) di Jakarta, Indonesia hari ini.
Acara itu merupakan sebahagian daripada Southeast Asia Final Marathon yang dianjurkan bersempena HAIER Women’s Day Run 2026, menghimpunkan pelari dari Malaysia, Filipina dan Indonesia dalam platform persaingan berprestij.
Dalam saingan tersebut, dua wakil negara, Noor Amelia Musa dan Nik Fakaruddin Ismail berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila meraih gelaran naib juara bagi kategori wanita dan lelaki dengan catatan masa masing-masing ialah 45 minit 39 saat serta 38 minit 37 saat.

Haier Malaysia dalam kenyataan berkata, Noor Amelia, 40, bukanlah nama asing dalam dunia larian apabila pernah mewakili negara di pentas Sukan SEA, selain menjuarai kategori wanita veteran di Subang Jaya Half Marathon 2026 yang lalu.
Tambahnya, Nik Fakaruddin, 41, turut dikenali sebagai antara atlet berpengalaman dalam acara larian jarak jauh dan sukan lasak, dengan beberapa pencapaian podium menerusi Standard Chartered Kuala Lumpur Marathon serta kejayaan berulang kali di Perlis Marathon.
“Penglibatan Haier Malaysia dalam Southeast Asia Final Marathon mencerminkan peranan jenama ini yang kian berkembang sebagai rakan setia dalam gaya hidup dan kesejahteraan penggunanya.
“Dengan menerajui sokongan terhadap acara sukan serantau, Haier melangkaui sempadan penyelesaian kediaman tradisional untuk menyokong secara aktif kesihatan fizikal serta aspirasi komuniti.
“Komitmen ini secara tidak langsung memupuk semangat kecekalan dan kecemerlangan merentas sempadan, selari dengan aspirasi inovatif Haier dalam memacu masyarakat ke arah kehidupan yang lebih aktif dan bermakna,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Haier Malaysia, Fan Jing berkata, pihaknya mahu terus membina reputasi sebagai jenama berasaskan gaya hidup yang tidak terhad kepada kelengkapan rumah semata-mata.
“Kami ingin memperkasakan setiap individu, tanpa mengira usia, untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat dan aktif.
“Inisiatif seperti Southeast Asia Final Marathon bukan sekadar acara sukan, ia merupakan satu platform yang mencetuskan gerakan positif melalui penglibatan peserta dari pelbagai negara untuk mencabar had kemampuan diri serta menyuntik inspirasi ke arah kemajuan bersama,” katanya.
Memasuki tahun ketiga penganjuran, acara tersebut yang dibawakan oleh Haier Indonesia mengangkat tema ‘Move for Change: Break the Bias, Break the Limits’ telah berjaya menarik lebih 8,000 peserta.
Selain meraikan Hari Wanita Sedunia dan Hari Kartini (yang disambut setiap tahun di Indonesia pada 21 April) acara itu turut menekankan kepentingan pemerkasaan komuniti melalui sukan. – KOSMO! ONLINE














