SEBERANG PERAI – Sindiket pengedaran dadah jenis syabu melalui syarikat penghantaran yang didalangi lima sekeluarga dan seorang wanita tumpas selepas ditahan polis dalam empat serbuan berasingan di daerah Barat Daya dan Seberang Perai Utara pada 4 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, dalam operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang bermula pukul 2.30 petang sehingga 11.30 malam itu, polis turut merampas 14.1 kilogram dadah jenis syabu dan serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) bernilai RM694,412.
“Dalam serbuan pertama, ketua sindiket dan kekasihnya yang masing-masing berusia 36 dan 32 tahun ditahan di hadapan sebuah premis di Bayan Lepas.
“Ekoran penahanan itu, polis menyerbu rumah keluarga dan menahan ibu, bapa, adik lelaki dan adik ipar ketua sindiket di Taman Bagan pada pukul 4.30 petang,” katanya pada sidang akhbar di ibu Pejabat Polis Daerah SPU di sini petang tadi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, serbuan ketiga dilakukan di sebuah syarikat penghantaran di Bayan Lepas kira-kira pukul 4.30 petang.
“Modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah menyembunyikan dadah jenis syabu di dalam acuan simen. Hasil risikan turut mendapati aktiviti pengedaran dadah ini aktif sejak Jun lalu untuk pasaran tempatan dan luar negara.
“Selain itu, serbuk MDMA berperisa limau yang diedarkan untuk pasaran tempatan dipercayai dijual ke pusat-pusat hiburan dengan harga antara RM150 sehingga RM180 sepaket,” katanya.
Ujarnya lagi, polis turut merampas sebuah kenderaan dan wang tunai berjumlah RM1,500 menjadikan nilai keseluruhan rampasan bernilai RM718,912.-KOSMO! ONLINE














