BAHTERA perkahwinan antara Elly dan Azam (bukan nama sebenar) baru memasuki usia setahun, namun mereka sudah diuji dengan pelbagai perkara sehingga membawa kepada ketegangan dalam rumah tangga.
Sebaik kelahiran bayi sulung mereka, pasangan berusia pertengahan 20-an itu mengambil keputusan untuk berpisah secara baik di mahkamah syariah.
Menurut Elly, perpisahan tersebut berlaku ekoran prasangka negatif Azam terhadap dirinya sehingga membawa kepada rasa marah dan benci yang tidak terhingga.
Bercerita lanjut, Elly berkata, dia berkenalan dengan suaminya menerusi media sosial sebelum bersetuju mengikat hubungan secara sah pada tahun 2018.
Katanya, dia memilih Azam sebagai teman hidup selepas tertarik dengan sifat sopan-santun serta kematangan yang ada pada dirinya.
“Saya kenal Azam tidak lama sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin. Kami kenal pun melalui media sosial dan bercinta selama beberapa bulan sahaja.
“Saya menerima lamaran Azam menjadi isteri kerana ciri-ciri yang ada padanya bertepatan dengan kehendak saya. Waktu itu, saya rasa dia mampu membimbing saya ke arah kebaikan,” katanya kepada K2 baru-baru ini.
Selepas hampir sebulan mendirikan rumah tangga, pasangan yang menetap di Klang, Selangor itu mendapat khabar gembira apabila Elly disahkan mengandung.
Elly memaklumkan, Azam merupakan orang paling gembira apabila mengetahui dia bakal menjadi bapa serta ibu bapanya akan mendapat cucu sulung mereka.
“Saya masih ingat reaksi Azam yang sangat gembira ketika itu. Walaupun usia kandungan masih baharu, namun dia telah membeli segala barang keperluan sebagai persiapan.
“Sebagai anak sulung, Azam juga berasa amat bangga kerana dapat memberi cucu pertama kepada kedua-dua ibu bapanya,” jelas wanita yang berkulit putih serta bertubuh tinggi lampai itu.
Apabila usia kandungan memasuki lima bulan, perwatakan Azam mula berubah dan perasaan terujanya untuk menjadi bapa sudah hilang, sebaliknya diganti dengan rasa dingin terhadap Elly.
Pada mulanya, Elly tidak mengetahui punca yang menyebabkan perubahan sikap Azam tersebut. Selepas menyiasat lebih lanjut dan bertanya rakan rapat Azam, dia akhirnya mengetahui punca perubahan berkenaan.
Menurut Elly, perubahan sikap tersebut berlaku selepas suaminya mengetahui sendiri masa silam dirinya daripada bekas teman lelakinya dikenali sebagai Shah menerusi media sosial.
Shah telah menggelarkan dirinya sebagai wanita ‘liar’ yang selalu menghabiskan masa di kelab malam serta sering melakukan maksiat.

Elly agak terkilan kerana mengetahui perkara itu daripada mulut rakan baik suaminya sendiri.
Dia dimaklumkan, Azam berasa seperti ditipu selepas mengetahui semua kisah silam saya itu.
“Saya mengakui perkara itu betul-betul berlaku, tetapi itu masa silam saya. Selepas berkenalan dengan Azam, saya tidak lagi mengamalkan cara hidup bebas,” tuturnya.
Kemuncak kemarahan Azam terjadi selepas Elly meminta suaminya turut sama pergi ke klinik kesihatan bagi melakukan pemeriksaan bayi dalam kandungan.
Elly berkata, Azam bukan saja menolak pelawaan tersebut, malah melemparkan satu tuduhan yang cukup memeritkan serta tidak berasas sama sekali.
“Azam tidak mengakui anak dalam kandungan saya ini adalah anaknya. Sebaliknya, dia cakap anak dalam kandungan ini anak hasil maksiat yang telah dilakukan oleh saya.
“Tuduhan berkenaan membuatkan saya sangat sedih dan tidak dihargai. Saya yakin anak dalam kandungan ini anaknya, tetapi disebabkan rasa marah, Azam membuat tuduhan melulu,” katanya.
Disebabkan itu, Azam telah menyatakan hasrat untuk menceraikan Elly secara baik selepas kelahiran bayi mereka.
Jelas Elly, dia ada meminta Azam membuat ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengetahui status bapa kepada bayi mereka, namun ia ditolak
mentah-mentah oleh suaminya.
“Disebabkan Azam tidak mahu anak ini, dia telah melafazkan cerai di mahkamah syariah. Sewaktu perbicaraan, pihak mahkamah telah memberikan hak penjagaan anak kepada saya.
“Saya reda dengan nasib yang menimpa diri. Segala yang berlaku ini mungkin ada hikmahnya buat diri saya dan anak.
“Saya akan membesarkan anak ini sebaik mungkin meskipun secara bersendirian,” katanya.














