JERANTUT – Naga emas yang bakal menjadi durian kampung premium baharu di Damak di sini kini menjadi buruan penggemar raja buah dari seluruh negara.
Warna isinya berbeza mengikut saiz buah iaitu kekuningan bagi buah kecil, manakala buah bersaiz besar pula berwarna oren selain mempunyai rasa lemak manis serta sedikit pahit.
Malah, hanya terdapat sebatang pokok durian jenis naga emas di Damak yang ditanam di dusun milik Lim Kim Chooi, 62, di Kampung Berchang.
Kim Chooi berkata, pokok durian naga emas itu ditanam di dusun duriannya seluas 2.4 hektar yang turut mempunyai kira-kira 250 batang pokok durian.
“Setiap musim, pokok durian ini sentiasa berbuah lebat dan mengeluarkan hasil antara 250 hingga 300 biji dan biasanya gugur lebih awal berbanding durian kampung lain.
“Naga emas kini menjadi antara pilihan utama penjual durian di sekitar pekan Damak kerana mendapat permintaan tinggi termasuk ada pelanggan yang sanggup membuat tempahan awal,” katanya baru-baru ini.

Ujarnya, pokok durian naga emas berkenaan ditanam oleh mentuanya melalui semaian biji durian yang diambil dari Terengganu, kira-kira 50 tahun lalu.
Katanya, buah bersaiz antara 1.2 kilogram (kg) hingga 3.2kg dengan warna kulit hijau keperangan itu dijual pada harga RM25 sekilogram.
“Isi naga emas menghasilkan aroma durian kampung yang asli dan rasa lemak manis serta sedikit pahit, malah seakan-akan isi melekat di kerongkong ketika ditelan menyebabkan penggemarnya memilih durian ini,” katanya.
Berita berkaitan: Durian Damak kalahkan musang king
Berita berkaitan: Musang king hilang ‘takhta’ kini RM23 sekilo
Menurutnya, sehingga kini dia tidak dapat membawa naga emas memasuki pertandingan durian kampung premium memandangkan buah itu luruh lebih awal berbanding durian kampung lain dan habis dalam tempoh dua minggu sahaja.
“Saya yakin sekiranya naga emas menyertai pertandingan, kemungkinan ada disenaraikan untuk anugerah dalam kalangan durian yang terbaik di daerah ini, sekali gus dapat membantu rating di pasaran secara kompetitif dengan baka lain.
“Dua rakan saya yang juga peniaga iaitu Ahmad Mustafar dan Pak Mokhtar banyak membantu mempromosikan naga emas yang mula menambat selera pelanggan,” ujarnya.
Sementara itu, Ahmad yang berniaga durian di pekan Damak berkata, naga emas mendapat perhatian pelanggan apabila mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengan musang king dari segi rasa isinya.
“Keunikan naga emas, iaitu isinya warna kekuningan dan rasanya lemak manis dan sedikit pahit. Isi buah ini akan bertukar warna oren apabila saiznya lebih besar melebihi berat 3kg,” ujarnya.














