BENTONG – Perang harga yang dilakukan peniaga durian menyaksikan musang king dijual RM23 sekilogram sejak dua minggu lalu hingga berjaya menarik lebih ramai pembeli terutamanya dari Lembah Klang bertandang ke daerah ini bagi menikmati keenakan raja buah kayangan itu.
Untuk rekod, musang king pernah dijual pada harga tertinggi iaitu RM90 sekilogram.
Sesetengah peniaga pula masih mengekalkan harga musang king iaitu RM35 sekilogram ke bawah untuk gred B dan bagi durian kampung pula dijual tidak melebihi RM15.
Ketika ini, terlalu banyak gerai dibuka di sepanjang jalan di daerah ini hingga berlakunya persaingan dan penurunan harga ekoran permintaan yang tinggi terhadap raja buah terutamanya musang king.
Seorang peniaga, Tengku Rezza Tengku Abdul Razak, 32, berkata, harga durian yang dijual di gerainya adalah berdasarkan kepada harga semasa daripada pekebun.
Katanya, bagi musang king harga pada masa ini adalah RM23 sekilogram berbanding RM33 pada dua minggu lalu.
“Saya jual berdasarkan harga harian, setakat ini ia menyaksikan trend penurunan harga dan buah yang ada juga dijamin, kalau tak elok boleh tukar.
“Sambutan yang saya terima amat menggalakkan khususnya musang king dan kampung yang dilihat menjadi pilihan pembeli masa ini,” katanya kepada Kosmo! Ahad.
Menurut Tengku Rezza, selain menjual terus kepada pelanggan runcit, dia turut menerima tempahan borong daripada individu termasuk dari Lembah Kelang.
Tambahnya, jualan begitu laju sehingga dia boleh menghabiskan 10 bakul durian dalam tempoh dua jam.
“Sebenarnya buah cepat habis, saya juga sering menerima tempahan daripada orang ramai yang mahu merasa keenakan durian Pahang.
“Tidak rugi pun saya menjual dengan harga yang murah kerana saya mahu semua orang mampu merasa buah durian ini,” katanya.
Seorang lagi penjual, Dylan Tho, 35, berkata, sambutan penggemar durian Pahang amat menggalakkan meskipun baru masuk minggu kedua musim buah berkenaan bermula.
Katanya, dia yang menjual musang king RM35 sekilogram berkata, kemungkinan harga akan turun lagi ekoran berlaku lambakan pada masa terdekat.
“Sambutan memang agak baik pada masa ini dan ia akan turun lagi bermula minggu hadapan, buah yang saya jual memang terjamin kualitinya kerana ditanam di Pahang,” katanya.
Sementara itu seorang penggemar durian, Mohd. Khairul Abdullah, 44, berkata, trend penurunan harga khususnya musang king membuatkan penggemar raja buah menikmatinya dengan lebih puas.
Katanya, dia sentiasa memantau harga durian setiap hari daripada beberapa penjual dan mengambil peluang membeli dengan harga yang murah.
“Alhamdulillah penjual dilihat menurunkan harga dan harga berbeza setiap hari, jadi ia memberi peluang saya membeli dengan harga lebih murah,” katanya yang berasal dari Karak di sini.
Seorang lagi penggemar durian dari Lembah Klang, Muhammad Alfian Aziz,37, berkata, dia sering datang ke sini untuk mendapatkan durian pada harga yang lebih murah berbanding di Kuala Lumpur.
“Bila saya datang sendiri, saya lebih yakin dapat membeli buah durian Pahang yang dikatakan lebih sedap daripada tempat lain. Biasanya saya datang pada hari biasa kerana ia lebih murah berbanding hari minggu,” katanya.














