GADIS dari Pulau Pinang, Sarah Adilah Mohd. Subri, 25, atau lebih mesra disapa sebagai Sarah sememangnya menyimpan impian besar bergelar pengusaha stesen minyak satu hari nanti.
Minat mendalam dalam bidang perniagaan terbit selepas membantu keluarga mengusahakan perniagaan makanan dan minuman (F&B) sejak berusia 17 tahun. Dia yang sukakan cabaran juga menyimpan hasrat bergelar pendidik.
Sarah yang juga penuntut Sarjana Pentadbiran Perniagaan MBA itu juga tidak menolak sekiranya dipertemukan jodoh pada usia awal dan mengimpikan lelaki yang bijak dalam membuat keputusan.
Kepada Kosmo! Ahad, gadis periang ini berkongsi kisah hidup dan perancangan masa depan.
Kosmo! Ahad: Serba sedikit mengenai Sarah?
Sarah: Anak kedua daripada lima beradik dan seorang yang periang dan bercita-cita tinggi. Mahu memperoleh ijazah Doktor Falsafah (Phd) sebelum umur 30 dan pada masa sama memiliki perniagaan sendiri iaitu pengusaha stesen minyak.
Apa yang dilakukan Sarah ketika ini?
Sarah mengikuti program pertukaran pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan kerjasama Khatoleike Universitiet Leuven (KU Leuven), Belgium.
Ceritakan pengalaman belajar di Belgium?
Pengalaman paling bermakna apabila menjadi wakil Malaysia sempena Hari Wanita yang dihadiri ahli politik dan Perdana Menteri dari beberapa negara.

Mengapa pilih bisnes stesen minyak?
Cabaran dan ini adalah impian saya sejak kecil. Ketika ini saya sedang mengumpul ilmu berhubung bidang tersebut.
Malah ibu bapa juga pencetus utama ke arah itu. Mereka tidak putus-putus memberi sokongan dari segi kewangan dan mental sehinggalah ke hari ini.
Apa yang menarik tentang Sarah?
Suka cuba benda baharu, minat peragaan dan banyak menghabiskan masa di gimnasium selain membaca.
Tubuh badan yang sihat penting bagi saya kerana ia menyerlahkan kecantikan diri. Paling tidak suka orang yang cepat menghakimi dan tidak boleh mendengar alasan.
Ketakutan terbesar Sarah dalam hidup?
Apabila ibu bapa sakit atau mereka berada dalam keadaan resah. Situasi ini membuatkan saya overthinking dan sentiasa takut jikalau ada benda benda buruk berlaku kepada mereka.
Pilih warga tempatan atau asing sebagai teman hidup?
Tempatan, kerana lebih mudah dari segi bahasa, budaya serta pemilihan makanan. Sarah suka lelaki matang, bijak membuat keputusan dan paling benci lelaki panas baran.
Pesanan untuk lepasan SPM?
Anda perlu tahu apa yang diminati dan kerjaya yang diinginkan, sentiasa belajar benda baru dan jangan takut untuk gagal selain mempunyai matlamat.














