Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, industri e-sukan bukan lagi sekadar hiburan sampingan buat golongan muda, sebaliknya berkembang menjadi fenomena global yang membuka peluang kerjaya, pembangunan bakat serta persaingan bertaraf profesional.
Di Asia Tenggara khususnya, permainan mudah alih seperti Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) berjaya membentuk komuniti kompetitif yang besar dalam kalangan pelajar universiti, sekali gus menjadikan kampus sebagai antara medan penting melahirkan generasi baharu atlet e-sukan.
Perkembangan itu jelas dapat dilihat menerusi penganjuran OPPO Hyper Legend Cup x MLBB Campus Series yang berlangsung di pusat beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya,
Selangor baru-baru ini apabila kejohanan berkenaan menghimpunkan pasukan universiti terbaik dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Filipina dalam persaingan sengit merebut gelaran juara serantau.
Kejohanan yang berlangsung dari 16 hingga 19 April itu menghimpunkan barisan pemain universiti terbaik dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Filipina, sekali gus memperlihatkan perkembangan pesat ekosistem e-sukan kampus di rantau ini.
OPPO Hyper Legend Cup ialah kejohanan e-sukan anjuran OPPO yang memfokuskan permainan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), khususnya dalam kalangan pelajar universiti dan komuniti kampus di Asia Tenggara.
Kejohanan tersebut diwujudkan sebagai platform untuk mencungkil bakat baharu e-sukan selain memberi peluang kepada pemain muda bersaing di pentas kompetitif bertaraf serantau.
Ia turut menjadi medium untuk OPPO mempamerkan kemampuan teknologi peranti mereka dalam menyokong pengalaman permainan mudah alih berprestasi tinggi.
Pasukan Filipina berjaya membuktikan dominasi mereka apabila muncul juara kejohanan, manakala Malaysia turut mencipta kebanggaan apabila dua wakil tempatan,
KPTM x Velocity dan UiTM x Velocity, masing-masing menamatkan saingan di tempat kedua dan ketiga.
Dengan jumlah hadiah keseluruhan mencecah AS$100,000 (RM470,000), kejohanan itu mencatat sejarah sebagai pertandingan MLBB peringkat kampus terbesar pernah dianjurkan oleh sebuah jenama.
Sambutan luar biasa turut diterjemahkan menerusi lebih 1,400 penyertaan daripada empat negara Asia Tenggara.

Presiden APAC OPPO, Gary Dong berkata, kejohanan itu bukan sekadar pertandingan permainan video, sebaliknya platform penting untuk mengetengahkan bakat muda e-sukan.
“OPPO Hyper Legend Cup x MLBB Campus Series membuka ruang kepada generasi baharu pemain e-sukan untuk menyerlahkan kemahiran dan semangat mereka.
“Kami mahu terus menyokong pembangunan esports mudah alih menerusi teknologi yang mampu meningkatkan pengalaman permainan kompetitif,” katanya.
Berkongsi perasaan bertanding di peringkat antarabangsa, Ketua Esukan Velocity Esports, Syahmi Firdaus Shahrol Nizam berkata, dia gembira dan amat menghargai sokongan yang diberikan semua sepanjang berlangsungnya kejohanan itu.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia, ibu bapa, keluarga, pasangan dan penyokong kami di media sosial.
“Kami sangat berbangga dengan pencapaian pasukan iaitu KPTM x Velocity dan UiTM x Velocity yang telah berjaya mendapat tempat kedua dan ketiga secara keseluruhan.
“Ini merupakan permulaan buat kami. Teruskan menyokong dan satu hari nanti apabila tiba masanya, kami akan menyandang gelaran juara pula,” katanya.
Tambah Syahmi Firdaus, sesi latihan kedua-dua pasukan itu juga amat mencabar, namun ia membantu mereka bersedia dengan lebih baik bagi kejohanan OPPO Hyper Legend Cup X MLBB tahun ini.
“Untuk kejohanan kali ini, kami lebih kuat daripada latihan dan dari segi pengurusan mental.
“Bermain dan mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa adalah menjadi impian kami dan kami amat berbangga atas peluang ini,” katanya.
Sepanjang kejohanan berlangsung, siri OPPO Reno15 digunakan sebagai peranti rasmi pertandingan.
Dilengkapi paparan 120FPS ultra lancar, sistem penyejukan VC Cooling serta bateri 6,500mAh dengan pengecasan pantas 80W SUPERVOOC, peranti itu direka bagi memastikan prestasi optimum ketika aksi kompetitif berlangsung.
Kehadiran ikon MLBB tempatan seperti Soloz dan Feekz turut memeriahkan suasana kejohanan apabila peminat berpeluang menyertai sesi bertemu peminat selain menikmati pelbagai aktiviti interaktif.
Menurut Soloz, kejohanan seperti itu menjadi medan terbaik untuk melahirkan bintang e-sukan masa depan.
“Saya teruja melihat bakat-bakat muda universiti beraksi di pentas besar. Inilah peluang mereka untuk membuktikan kemampuan dan mungkin menjadi legenda baharu esports pada masa depan,” katanya.
Sementara itu, Feekz menyifatkan kejohanan berkenaan sebagai platform penting dalam pembangunan pemain muda kompetitif di rantau ini.
Selain perlawanan akhir yang mendebarkan, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk zon pengalaman teknologi OPPO, cabutan hadiah serta pemberian barangan eksklusif sepanjang acara berlangsung.
Pencapaian KPTM x Velocity dan UiTM x Velocity pula dilihat membuktikan bahawa Malaysia semakin mampu bersaing di pentas esports serantau, khususnya kalangan pemain universiti yang semakin aktif dan kompetitif.














