fbpx
ONN HAFIZ pada program kempen BN Bersama Masyarakat DUN Maharani di Parit Raja Darat, Muar, Johor, hari ini. Foto oleh AMRAN ALI

PRN Johor: Tak apalah kita ‘move on’ – Onn Hafiz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MUAR – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memilih untuk tidak memanjangkan polemik berhubung kejadian beliau dihalang menghadiri program di kawasan Felda, sebaliknya mengajak semua pihak untuk meneruskan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor secara sihat.

Beliau bagaimanapun menegaskan, program yang sepatutnya dihadirinya itu bukanlah program berkempen, sebaliknya majlis penyerahan geran tanah kepada peneroka.

“Masa saya dilarang masuk, masa itu bukan masa kempen. Masa itu saya hendak menyerahkan geran tanah kepada peneroka-peneroka, jadi tak ada isu pun dari segi nak berkempen.

“Saya dapat surat daripada pengurusan Felda sendiri bahawa program itu terpaksa ditangguhkan di atas sebab-sebab teknikal. Jadi tak apalah, saya rasa kita move on daripada insiden-insiden tersebut dan kita terus, dari segi kempen pula, kita berkempen secara sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program kempen Barisan Nasional (BN) Bersama Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani di Parit Raja Darat, di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada sebarang arahan dikeluarkan kerajaan untuk menghalang mana-mana pemimpin memasuki kawasan Felda atau menghadiri program di penempatan itu.

Menurut beliau, kerajaan sentiasa mengamalkan sikap terbuka dan tidak pernah menghalang mana-mana pihak mengadakan program di kawasan Felda selagi tidak menggunakan kemudahan atau aset kerajaan bagi tujuan berkempen.

Anwar turut menjelaskan sekiranya terdapat program yang dibatalkan atau ditangguhkan, perkara itu adalah urusan penganjur dan bukannya arahan daripada kerajaan.

Mengulas lanjut mengenai gerak kerja jentera BN di Utara Johor, Onn Hafiz berkata, momentum serta sokongan rakyat terhadap calon-calon dilihat berada pada tahap yang baik.

“Semua berjalan dengan baik dan lancar, kita lihat dari segi momentum jentera dan juga rakyat di kawasan ini memberikan sokongan yang baik terhadap calon-calon BN seperti yang boleh nampak hari ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN