PETALING JAYA – Penggunaan ‘tayar sotong’ di atas jalan raya wajar dibanteras secara total kerana mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia, Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, penjualannya secara terbuka juga perlu dipantau oleh pihak berwajib.
“Tayar kecil untuk tujuan ‘sprint test’ dan jalan raya bukan litarnya. Patut tidak dibenarkan sama sekali digunakan di atas jalan raya.
“Penjualan ‘tayar sotong’ berleluasa ekoran terdapat permintaan. Patut diharamkan terus digunakan di atas jalan raya dan jualannya dikawal hanya untuk aktiviti sukan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Sehubungan itu, Mohd. Yusof berkata, antara perkara yang penting dalam menangani isu itu adalah aspek penguatkuasaan.
Menurut beliau, penguatkuasaan yang bersifat bermusim akan menyebabkan segelintir pengguna jalan raya tidak takut terhadap peraturan ditetapkan.
“Saya rasa aspek penguatkuasaan kena tegas. Tidak boleh bermusim seperti hanya ambil tindakan bila ada isu kerana ia tidak akan memberikan apa-apa kesan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, ‘tayar sotong’ tidak boleh dianggap sebagai aksesori motosikal untuk tujuan ubah suai kerana ia melibatkan hal keselamatan.
“Tayar kecil lebih mengundang kemalangan berbanding tayar yang mengikut spesifikasi. Walau dikatakan lebih laju tetapi lebih berisiko,” katanya.















