fbpx
SATU sesi tufting boleh menempatkan sehingga lapan orang dengan durasi tiga jam.

Seni mengait moden mudah dipelajari, jimat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kaedah tufting atau seni mengait moden ini dibuat menggunakan sebuah alat dipanggil pistol tufting yang mana kelajuan tebukannya boleh dilaras mengikut keselesaan, sekali gus memendekkan masa mengait selain amat mudah untuk digunakan.

Apa yang menjadikan tufting lebih menarik adalah sesiapa sahaja boleh melakukannya memandangkan ia tidak memerlukan apa-apa skil atau kemahiran tertentu.

Ia berbeza dengan teknik mengait tradisional yang lebih sukar, memandangkan ia memerlukan ketelitian yang amat tinggi.

Tufting juga boleh dilakukan oleh kanak-kanak seawal usia 10 tahun, kerana pistol tufting juga cukup mudah digunakan.
———————————————————————————————————————————————————————-
SUASANA di dalam premis D’rug Tufting Studio yang terletak di Jalan Telawi 3, Bangsar, Kuala Lumpur itu sedikit riuh dengan kehadiran beberapa pengunjung yang sedang seronok mempelajari aktiviti mengait ala moden.

Aktiviti dipanggil tufting itu kini kian meniti populariti dalam kalangan penduduk di ibu kota sebagai satu aktiviti baharu yang boleh dicuba bersama ahli keluarga atau rakan-rakan.

Tufting merupakan seni mengait yang dihasilkan melalui kaedah menebuk kain menggunakan benang yang tebal.

Jika dahulu, seni mengait dilakukan dengan menggunakan kaedah manual yang mana benang akan ditebuk pada kain menggunakan tangan dan mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan.

Kaedah tufting pula dihasilkan menggunakan sebuah alat dipanggil pistol tufting yang mana kelajuan tebukannya boleh dilaras mengikut keselesaan, sekali gus memendekkan masa mengait, selain amat mudah digunakan.

Bucu pistol tufting yang tajam bertindak sebagai pemotong benang tebal dikenali sebagai yarn bagi menghasilkan permukaan berbulu yang rata, menyerupai karpet.

Pengasas studio D’rug Tufting Studio, Tan Wei Ren, 25, berkata, minat mendalam terhadap seni itu mendorong dia dan abangnya, Tan Wei Han, 26, membuka sebuah studio yang membolehkan orang ramai mempelajari sendiri kaedah tufting dalam suasana yang menyeronokkan.


WEI REN mengambil sebuah pistol tufting sebelum memulakan aktiviti mengait di premis D’rug Turting Studia, Jalan Telawi 3, Bangsar.

“Ia bukanlah satu bentuk seni baharu, namun semakin popular dan mula menjadi aktiviti hujung minggu yang menarik, khususnya dalam kalangan individu dewasa.

“Justeru, kami membuka studio ini pada bulan lalu yang mana orang ramai boleh datang untuk mempelajari kaedah tufting dan ternyata ia mendapat sambutan yang cukup menggalakkan,” ujarnya.

Jelas anak kelahiran Jasin, Melaka itu, apa yang menjadikan tufting lebih menarik adalah sesiapa sahaja boleh melakukannya memandangkan ia tidak memerlukan apa-apa skil atau kemahiran tertentu.

“Proses tufting mungkin nampak sukar, namun ia sebenarnya cukup mudah dan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja tanpa memerlukan sebarang kemahiran tertentu.

“Ia berbeza dengan teknik mengait tradisional yang lebih sukar, memandangkan ia memerlukan ketelitian yang amat tinggi,” ujarnya kepada K2.

Malah, tufting juga boleh dilakukan oleh kanak-kanak seawal usia 10 tahun, kerana pistol tufting juga cukup mudah digunakan.

WEI REN menunjukkan antara 90 warna benang jenis yard yang boleh dipilih oleh pengunjung.

Jelas Wei Ren, sebelum memulakan proses tufting, pengunjung terlebih dahulu akan memilih dan melakar imej yang mahu dihasilkan menerusi paparan imej pada projektor.

“Imej pilihan akan dipaparkan menerusi projektor dan dari situ, pengunjung akan melakar sendiri imej yang mahu dihasilkan pada kain rug digunakan untuk proses tufting.

“Kemudian, mereka akan dibawa ke bilik benang dan memilih warna benang mengikut cita rasa sendiri,” jelasnya.
Ketika ini, D’rug Tufting Studio mempunyai 90 rona benang tebal yang digunakan di studio tersebut.

Selesai memilih benang, pengunjung boleh memulakan proses tufting dengan menggunakan pistol tufting dan melaras sendiri kelajuan pada alatan itu mengikut keselesaan.

Satu proses tufting memakan masa selama tiga jam, bergantung kepada tahap kesukaran sesebuah imej yang dihasilkan.

Selepas seni kait itu siap, ia perlu ditinggalkan dahulu di studio tersebut untuk proses lain seperti meletakkan lapik antilicin pada permukaan bawahnya.

“Setiap karpet yang berjaya disiapkan perlu melalui proses ini sebelum ia boleh digunakan.

“Ia lazimnya memakan masa sekitar dua minggu sebelum sedia diambil. Sekiranya mereka tidak berkesempatan untuk mengambil produk itu, kami akan menghantarnya kepada mereka,” jelas Wei Ren.

SEBELUM memulakan proses mengait, pengunjung terlebih dahulu melakar imej yang ingin dihasilkan pada sehelai kain.

Seorang peserta yang berpeluang mengikuti bengkel tufting di D’rug Tufting Studio minggu lalu, Jacqueline Tan, 26, berkongsi pengalamannya dan tidak menyangka menyifatkan aktiviti itu sesuatu yang amat menyeronokkan.

Dia yang menempah slot bersama dua orang rakan mengakui mahu mencuba aktiviti tersebut selepas melihat ia semakin popular di media sosial.

“Ini merupakan kali pertama saya mencuba aktiviti ini dan ternyata ia amat menyeronokkan.

“Kami memilih untuk mencuba aktiviti ini memandangkan ia sedang trending. Saya akui, pada mulanya ia agak sukar, namun lama-kelamaan ia menjadi semakin mudah dan amat menyeronokkan,” ujarnya yang memilih untuk menghasilkan seni kait dengan motif karakter Chimmy dari BT21 yang merupakan karakter kumpulan K-pop fenomena BTS.

Bagi Yeap Chiew Pheng, 35, ajakan rakan-rakannya untuk mencuba aktiviti baharu itu disambut baik biarpun dia sebenarnya tidak tahu tentang populariti seni tufting yang mula meningkat naik di negara ini.

PISTOL tufting dengan kelajuan yang boleh dilaras mengikut keselesaan pengunjung.

“Pada mulanya, saya tidak begitu tahu tentang aktiviti ini dan hanya mengikut ajakan rakan-rakan yang mahu mencubanya.

“Memandangkan D’rug Tufting Studio sedang mengadakan promosi, kami mengambil peluang menempah slot dan tidak sangka ia sebenarnya amat menyeronokkan dan berbeza berbanding aktiviti masa senggang lain yang sering kami lakukan,” katanya.

Pengunjung yang berminat boleh menempah slot dengan melayari Instagram @drug_kl.
D’rug Tufting Studio mengadakan antara dua hingga empat sesi sehari dan boleh memuatkan lapan orang pada satu-satu sesi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN