fbpx
Gambar hiasan.

Peniaga tak reti masak perosak bazar Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Juadah berbuka puasa basi, hangit, mentah dan tidak dimasak dengan sempurna sehingga mendatangkan mudarat antara situasi yang kini berlaku di bazar-bazar Ramadan seluruh negara.

Kemunculan peniaga bermusim dan ‘jadi-jadian’ di bazar Ramadan menjadi punca masalah itu terjadi apabila sebahagian mereka hanya muncul pada musim-musim tertentu untuk mencari duit serta tidak begitu mahir memasak.

Dianggarkan terdapat lebih 300,000 peniaga di bazar Ramadan di seluruh negara ketika ini dan daripada jumlah itu, hampir separuh daripadanya hanya muncul pada bulan Ramadan.

Di Kuala Lumpur, seorang eksekutif swasta, Hasif Idris, 32, berkata, segelintir peniaga gagal memenuhi kriteria sebagai seorang penyedia makanan yang baik apabila menawarkan makanan tidak berkualiti.

Katanya, situasi itu dihada­pinya di Bazar Ramadan Desa Pandan selepas membeli beberapa ekor ikan keli bakar sebagai juadah berbuka puasa.

“Bayangkan, ketika mahu berbuka puasa dan makan ikan keli itu, isinya mentah dan memang tidak dimasak dengan baik. Siapa mahu makan ikan yang mentah?

“Saya sekeluarga memang kecewa kerana ikan itu langsung tidak boleh dijamah kerana mentah, risau memberi kesan kepada kesihatan pula jika kami memakannya,” kata Hasif kepada Kos­mo! semalam.

Katanya, dia sekeluarga juga terpaksa menjamah isi ikan yang ada sebahagiannya dimasak de­ngan baik memandangkan tiada pilihan lain.

“Ketika itu, saya hanya membeli nasi bungkus bersama lauk ikan keli, jadi terpaksa makan bahagian yang dimasak walaupun ada juga yang mentah.

Orang ramai membeli makanan di bazar Ramadan. Gambar hiasan

“Saya ada menghubungi peniaga terbabit bagi menceritakan situasi malang itu, nasib baik mereka mengakui kesalahan selain menawarkan hidangan baharu sebagai permohonan maaf,” ujarnya.

Turut mengalami pengalaman sama ialah Tasha Omar, 40, yang kecewa dengan segelintir peniaga apabila hidangan roti john dibe­linya tidak sepadan dengan penawaran harga.

“Bagi saya hidangan berharga RM8 itu sangat tidak berbaloi memandangkan peniaga itu ha­nya meletakkan satu sudu da­ging untuk empat roti john selain menggunakan dua biji telur.

“Kalau ditanya sama ada saya akan ulang membelinya lagi nanti, jawapannya memang tidak, lebih baik sokong peniaga yang ikhlas berniaga dengan makanan lebih sedap,” jelasnya.

Di Rembau, Negeri Sembilan, seorang pengguna yang enggan dikenali memberitahu, dia rasa tertipu apabila terbeli kebab berintikan ayam mentah di bazar Ramadan pada awal puasa lalu yang hampir mengundang mudarat kepadanya sekeluarga.

“Saya beli banyak untuk beri ahli keluarga makan, tetapi lain pula yang jadi apabila inti ayam pita kebab itu tidak dimasak dengan sempurna dan masih mentah,” kata­nya.

Di Kuala Terengganu, Terengganu, seorang suri rumah trauma untuk membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan selepas dua anaknya mengalami keracunan makanan baru-baru ini.

Tuan Naemah Tuan Husain, 37, berkata, anak-anaknya, Muhammad Aqil Rifqi Mohd. Rusnizam, 9, dan Nur Azzahra Raisha, 7, cirit-birit dan muntah-muntah dipercayai selepas memakan puding buih yang dibeli di sebuah bazar Ramadan di Kuala Nerus pada 6 April lalu.

Menurutnya, kedua-dua anaknya itu menjalani rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini sebelum dibenarkan keluar wad beberapa hari lalu.

“Saya syak mereka keracunan makanan kerana makan puding buih yang telah tercemar.

“Peniaga bazar Ramadan terlibat yang ditemui suami saya mendakwa bekalan puding buih tersebut diambil daripada pembuat kuih lain,” katanya.

Tuan Naemah berkata, insiden menimpa anaknya itu membuatnya dia serik untuk membeli kuih untuk berbuka puasa di bazar Ramadan.

Sementara itu, Nur Adila Mansor berkata, dia juga terkena apabila terbeli kuih lompat tikam basi di sebuah bazar Ramadan di Kijal, Kemaman, minggu lalu.

“Saya teruja untuk makan lompat tikam untuk berbuka puasa, tetapi kecewa apabila basi, mungkin menggunakan santan (kelapa) lama,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN