SERDANG – Seorang lelaki ditemui mati dengan kesan tetakan pada bahagian muka di hadapan sebuah kedai makan di Jalan BS 6/8, Taman Bukit Serdang, di sini awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A Anbalagan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira pukul 5.56 pagi.
“Pengadu memaklumkan terdapat seorang lelaki berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di hadapan kedai makan sekitar kawasan tersebut.
“Siasatan awal mendapati, mangsa merupakan lelaki tempatan berusia 30 tahun dan beralamat di sekitar Taman Bukit Serdang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelas beliau, pemeriksaan lanjut mendapati, mangsa dipercayai telah dibunuh dengan senjata tajam seperti parang berdasarkan kesan tetakan yang ditemui pada bahagian muka, leher dan tangan.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan siasatan masih diteruskan bagi mengesan suspek yang masih bebas serta mengenal pasti motif pembunuhan.
“Kita percaya terdapat lebih daripada seorang suspek tempatan yang terlibat dan usaha memburu kesemua suspek yang telah dikenal pasti itu sedang giat dijalankan,” jelasnya.
Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan. – KOSMO! ONLINE














