PETALING JAYA – Demi menghidupkan babak dalam drama Jiwa Seorang Pentaksub, pelakon Sophia AlBarakbah sanggup mengetepikan rasa bersalah dan berdebar apabila terpaksa meludah wajah aktor handalan gandingannya, Datuk Rosyam Nor.
Memegang watak Diana yang menjadi mangsa penderaan fizikal, seksual dan emosi, Sophia, 32, berkata, adegan berat tersebut menuntut komitmen tinggi bagi memastikan penderitaan watak wanita tersakiti itu sampai ke hati penonton.
Menurutnya, watak yang memerlukan dia menampar dan menendang aktor berpengalaman itu berulang kali membuatkan dirinya berasa takut.
“Contohnya, dalam babak Diana meludah Firzan, beliau sendiri minta saya betul-betul meludah ke mukanya. Sebagai pelakon junior, memang rasa bersalah dan takut dianggap tidak menghormati senior, tetapi demi babak itu saya terpaksa lakukan.
“Walaupun beliau sangat berhati-hati ketika babak penderaan, beberapa adegan menyebabkan kaki saya dipenuhi lebam,” katanya kepada Kosmo! Online.
Dalam masa sama, Sophia menyifatkan pujian daripada pelakon dan produser versatil itu terhadap mutu lakonannya sebagai penghargaan paling bermakna sepanjang pembabitan dalam naskhah tersebut.
“Alhamdulillah, apabila lakonan dipuji dan diiktiraf seorang anak seni dihormati ramai seperti beliau. Ini sangat bermakna buat saya, tambahan pula beliau sendiri yang menawarkan watak Diana kepada saya,” katanya.
Berkongsi pengalaman bergandingan dengan Rosyam, dia mengakui pada awalnya gementar kerana pelakon terbabit mempunyai aura tersendiri selain gemar memberikan idea spontan ketika penggambaran.
“Beliau selalu berpesan, abang nak awak jadi pelakon yang hebat, gunakan perkongsian dan ilmu ini untuk hebatkan lagi lakonan,” ulasnya
Aktres yang sudah lapan tahun terbabit dalam arena seni itu turut berharap penonton tidak sekadar melihat kelemahan karakter Diana, sebaliknya memahami keadaan sebenar mangsa penderaan yang sering terperangkap dalam ketakutan dan kebuntuan.
“Walaupun Diana melalui pelbagai kekasaran dan ugutan, dia tetap berusaha mencari jalan keluar. Saya harap watak ini memberi harapan bahawa masih ada jalan untuk keluar daripada hubungan toksik,” katanya.
Drama bersiri 25 episod itu tular berikutan kisah seorang lelaki berpengaruh lakonan Rosyam yang taksub kepada kekasih anaknya. – KOSMO! ONLINE














