GEORGE TOWN – Seorang lelaki etnik Rohingya yang dipercayai terlibat kes bunuh rakan senegaranya dengan senjata parang di Taman Belibis, Nibong Tebal di sini, pada 31 Mei lalu akan didakwa di Mahkamah Majistret Jawi, pagi esok.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail mengesahkan perkara tersebut ketika dihubungi Kosmo! di sini, malam ini.
Menurut beliau, suspek lelaki terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
“Dua lagi wanita etnik sama yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu turut akan dituduh mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Jawi pada pukul 9 pagi esok,” katanya di sini.
Pada 1 Jun lalu, Kosmo! Online melaporkan perselisihan faham membabitkan masalah rumah tangga menjadi punca seorang lelaki etnik Rohingya maut ditikam di sebuah rumah di Taman Belibis, Simpang Ampat dekat sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.20 petang itu, isteri mangsa berusia 26 tahun turut dilaporkan cedera dan dibawa ke Hospital Seberang Jaya bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Hasil pemeriksaan awal mendapati, mangsa lelaki berusia 31 tahun ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan beberapa kesan tikaman pada badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. – KOSMO! ONLINE














