PETALING JAYA – Ramai wanita di negara ini kini lebih suka suami mereka menjadi suri rumah sepenuh masa kerana pengurusan keluarga dan penjagaan anak-anak mereka lebih tersusun serta keselamatan terjamin di bawah jagaan seorang lelaki.
Maka tidak hairanlah ada antara wanita berkerjaya serta berpendapatan tinggi sanggup memberi ‘elaun’ atau duit belanja kepada suami mereka.
Di George Town, seorang eksekutif jualan yang mahu dikenali sebagai Malisa, 45, mengakui, kesanggupannya memberi RM2,500 sebulan kepada suami dianggap berbaloi dengan tanggungjawab 100 peratus yang dipikul suaminya dalam menjaga tiga cahaya mata mereka.
Menurutnya, kesanggupan suami menguruskan semua kerja rumah termasuk menjaga anak-anak dilihat paling selamat berbanding mengupah amah.
“Zaman kini semuanya sudah berubah, tidak pelik jika suami bertukar profesion menjadi suri rumah. Merekalah yang lebih teliti dalam menguruskan kerja rumah berbanding orang luar atau saudara kita sendiri.
“Saya beri suami ‘elaun’ RM2,500 sebulan. Saya lebih suka dia jadi suri rumah sepenuh masa kerana cara pengurusan keluarga memang tiptop, malah tiga orang anak kami lebih terdidik dan keselamatan mereka terjamin di bawah jagaannya.
“Elaun itu jika dihitung semula nilainya sama dengan kos pembiayaan pengasuh atau pusat asuhan dan kos pengangkutan,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Malisa memberitahu, keputusan merelakan suaminya menjadi suri rumah bermula pada awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19, dua tahun lalu.
Katanya, sebelum itu, suaminya bekerja sebagai pembantu juruteknik di sebuah kilang.
“Saya pula perlu ke pejabat setiap hari selain sibuk hadir ke mesyuarat meskipun diadakan secara maya. Tanggungjawab sebagai isteri dan ibu hanyalah selepas tempoh waktu bekerja.
“Ketika itu, suami pula terpaksa duduk di rumah dalam masa yang lama berikutan arahan penutupan sementara kilang akibat PKP. Dia pula hanya menerima gaji pokok sebanyak RM1,800 sebulan,” ujarnya.
Katanya, mereka berdua kemudian berbincang mengenai keadaan ekonomi keluarga semasa itu dan suami sanggup korbankan kerjayanya demi keluarga.

Seorang lagi pegawai di agensi kerajaan yang mahu dikenali sebagai Maria, 40, pula berkata, ada keistimewaan tersembunyi apabila suami jadi suri rumah.
“Suami akan sambut kepulangan isteri dengan senyuman. Penat kerja isteri juga berbaloi apabila suami mula merancang menu harian keluarga, aktiviti anak-anak dan kediaman sentiasa kemas dan tersusun,” ujarnya.
Maria memberitahu, dia sedikitpun tidak malu apabila ada dalam kalangan rakan dan jiran sibuk bertanya mengenai suaminya di rumah.
“Saya rasa lebih selamat dan selesa, malah anak-anak juga lebih mengenali bapa mereka berbanding dahulu yang kerap pulang kerja lewat malam,” ujarnya.
Berita berkaitan: Isteri beri RM2,000 suami jadi suri rumah
Di Kuala Lumpur, seorang arkitek yang ingin dikenali sebagai Nur Azizah, 34, berkata, suaminya secara rela menyuarakan pilihannya untuk menjadi suri rumah apabila masih gagal mendapatkan kerja setelah hampir tujuh bulan menganggur.
Kata Nur Azizah, suaminya yang sebelum ini bertugas sebagai seorang pensyarah sambilan di sebuah kolej swasta terpaksa diberhentikan ekoran institusi pendidikan tersebut ditutup.
“Suami sendiri pilih untuk jadi suri rumah dan jaga dua anak kami berusia empat dan dua tahun. Daripada membayar pembantu rumah, lebih baik dia sendiri yang menjaga anak-anak,” katanya.
Ujarnya, dia turut memberi sejumlah elaun kepada suaminya secara bulanan.
“Kalau sebelum ini, setiap bulan perlu bayar gaji pembantu rumah sebanyak RM2,300 sebulan, tetapi dengan adanya bantuan suami, ia lebih meringankan perbelanjaan kami,” ujarnya.
Kosmo! semalam melaporkan, fenomena lelaki bergelar suami yang menjadi suri rumah sepenuh masa kini semakin meningkat di negara ini.














