PETALING JAYA – Fenomena lelaki bergelar suami yang menjadi suri rumah sepenuh masa kini semakin meningkat di negara ini dan peralihan ‘kuasa’ itu bukannya dibuat secara paksaan, sebaliknya melalui persetujuan bersama suami isteri.
Pendapatan isteri yang lebih tinggi berbanding suami antara punca lebih ramai lelaki sanggup menjadi suri rumah, malah ada antara wanita yang turut memberi suami mereka ‘elaun’ sebanyak RM2,000 sebulan untuk menguruskan anak-anak.
Seorang suami yang menjadi suri rumah sepenuh masa yang dikenali sebagai Karim, 53, mengakui dia tidak pernah bekerja sejak mendirikan rumah tangga kira-kira 27 tahun lalu.
Menurutnya, sebelum berkahwin, dia hanya bekerja sambilan dalam penganjuran sesuatu acara majlis dan tidak mempunyai pendapatan tetap.
“Memang sejak awal perkahwinan, saya yang menjadi suri rumah. Isteri yang bekerja sebagai pegawai bank sangat sibuk dengan tugasnya dan dia tidak sempat untuk menguruskan rumah tangga serta anak-anak.
“Jadi, kami telah sepakat supaya hanya salah seorang yang keluar bekerja kerana mahu memberi perhatian penuh kepada dua orang anak yang sedang membesar ketika itu.
“Isteri telah memberi saya elaun sebanyak RM2,000 sebulan sebagai duit belanja. Sepanjang menjadi suri rumah, masa saya banyak digunakan untuk melakukan aktiviti bersama keluarga seperti bersukan, riadah dan bersiar-siar,” katanya kepada Kosmo! semalam.

– GAMBAR HIASAN
Karim yang menetap di Cheras, Kuala Lumpur memberitahu, walaupun tidak membantu dari segi kewangan, namun sekurang-kurangnya dia dapat meringankan beban isterinya untuk membuat kerja-kerja rumah dan menguruskan anak-anak.
Kata Karim, isterinya tidak perlu memikirkan masalah yang berlaku di rumah atau risau akan keselamatan anak-anak, sebaliknya boleh memberi tumpuan terhadap pekerjaannya sahaja.
Seorang lagi suami yang dikenali sebagai Ismail, 36, memberitahu, dia tidak kisah mengenai pandangan masyarakat kepadanya kerana dia lebih selesa menjalankan tugas di rumah terutama dalam menguruskan anak-anak.
“Saya jadi suri rumah selepas diberhentikan kerja sebagai jurutera pada tahun 2016. Saya tak sangka akan menguruskan hal rumah tangga selepas hilang pekerjaan.
“Selepas diberhentikan, saya cuba berniaga dan melakukan pelbagai jenis kerja, namun tidak bertahan lama. Saya kemudian berbincang dengan isteri untuk menjadi suri rumah selepas kelahiran anak kedua pada tahun 2018,” ujarnya.
Menurutnya, kos sara hidup yang tinggi di Lembah Klang terutama perbelanjaan pusat asuhan yang mahal menyebabkan dia mengambil keputusan untuk menjaga anak-anak di rumah dan merelakan isterinya yang bekerja dalam syarikat minyak dan gas untuk mencari rezeki.
Katanya, dia tidak kekok ketika mengendalikan kerja-kerja rumah seperti memasak, mengemas dan menguruskan anak-anak yang masih kecil.
“Selain itu, saya juga menghantar dan mengambil isteri bekerja, banyak yang kami dapat jimatkan, lebih-lebih lagi ketika pandemik ini,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi suami yang bergelar suri rumah sepenuh masa yang dikenali sebagai Adib, 32, berkata, dia turut mengambil keputusan untuk tidak bekerja dan duduk di rumah selepas perniagaannya gulung tikar gara-gara terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
“Saya baru lagi jadi suri rumah sejak perniagaan kafe ditutup pada Mei 2020. Ketika ini, hanya isteri yang bekerja dan menyara kehidupan kami berdua,” katanya.














