fbpx
Mohd. Kamarudin

Polis siasat skim pelaburan Al Kahtifah Trust, Madinah Mining

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung dua skim pelaburan yang dikenali sebagai Al Kahtifah Trust dan Madinah Mining.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, sebanyak 66 kertas siasatan telah pun dibuka membabitkan kedua-dua skim tersebut.

“38 kertas siasatan dibuka berkait skim pelaburan Al Kahtifah Trust melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM468,870.

“Sementara itu, bagi skim pelaburan Madinah Mining sebanyak 28 kertas siasatan telah dibuka melibatkan kerugian sebanyak RM343,282,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kes buat kedua-dua skim pelaburan itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, berdasarkan siasatan, kedua-dua skim pelaburan dikesan mulai aktif sejak penghujung tahun 2021 dan menggunakan media sosial untuk mencari pelabur.

“Pakej yang ditawarkan adalah serendah RM500 dengan kadar keuntungan 100 peratus dalam tempoh satu hingga dua hari sahaja.

“Bagi menyakinkan pelabur, penganjur pelaburan ini mendakwa skim yang ditawarkan adalah patuh syariah dan mempunyai kelulusan dari Bank Negara Malaysia,” ujarnya.

Katanya, pihak polis memberi jaminan bahawa siasatan yang terperinci akan dilaksanakan bagi memastikan ahli sindiket skim tersebut dapat dituduh di mahkamah.

“Polis mengingatkan orang ramai unutk memberikan perhatian dan melaksakan semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan terutamanya yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan.

“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dari sumber-sumber rasmi seperti Semak Mule, Alert List Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sebelum membuat keputusan untuk menyertai apa jua skim pelaburan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, Pengasas dan Presiden AUF MBZ Consortium, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman yang juga suami kepada selebriti, Datin Seri Heliza Helmi mendakwa namanya digunakan sindiket penipuan pelaburan tidak wujud.

Beliau mengesan pihak dan individu terbabit menggunakan akaun palsu di media sosial seperti Facebook, Instagram serta Telegram untuk memperdaya mangsa.

Berikutan itu, pihaknya sudah membuat lima laporan polis sejak awal tahun ini dengan terbaharu dibuat pada 25 Februari lalu di Balai Polis Kelana Jaya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN