KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga China berjaya diselamatkan selepas dipercayai dikurung secara salah dalam serbuan di sebuah penginapan sewa di Jalan Peel, di sini pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, serbuan kira-kira pukul 9 malam itu dijalankan sepasukan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 36 tahun dijadikan penjamin rakannya yang mempunyai hutang judi berjumlah RM100,000.
“Disebabkan rakannya melarikan diri, mangsa dikurung selama tiga hari oleh suspek bagi mendesaknya supaya melunaskan hutang tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dalam operasi itu, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 30 tahun di lokasi kejadian dan merampas kunci rumah, kad akses dan dua buah telefon bimbit bagi membantu siasatan.
Kedua-dua suspek direman selama tiga hari untuk siasatan di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana kurungan salah.
“Usaha mengesan dalang utama yang masih bebas sedang giat dijalankan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














