ROMPIN – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar dari belakang oleh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) sebelum diseret sejauh 59 meter di Jalan Ibam – Rompin berhampiran Kampung Bangkong di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.05 pagi itu mangsa Kairol Ismail,37, tercampak sejauh 37 meter manakala kereta jenis Perodua Alza terbakar.
Ketua Polis Daerah Rompin Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, semasa kejadian kedua-dua kenderaan dari arah sama iaitu dari Ibam menghala ke Rompin.
“Apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan jenis Perodua Alza yang dipandu lelaki berusia 69 tahun terlanggar pada bahagian belakang motosikal ditunggang mangsa yang berada di hadapan.
“Akibat kejadian penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu MPV tidak mengalami kecederaan,” katanya di sini.
Menurutnya mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Rompin untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah jalan lurus dan semasa kejadian cuaca baik dengan permukaan jalan rata dan kering.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu kereta sehingga menyebabkan kemalangan berlaku. Lokasi kejadian adalah lurus dan cuaca baik dengan permukaan jalan rata serta kering,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














