KOTA TINGGI – Polis mengesahkan kejadian tembak yang mengorbankan dua lelaki warga emas dan seorang wanita di Taman Kota Jaya di sini semalam dipercayai berpunca kerana hutang antara mangsa wanita warga Vietnam dan suspek.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, bagaimanapun jumlah sebenar hutang tersebut masih dalam siasatan.
Katanya, satu sidang akhbar akan diadakan bagi memperincikan kejadian tersebut.
“Sidang akhbar akan diadakan selepas siasatan lengkap dan mendapat arahan daripada pihak pendakwa raya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam Kosmo! melaporkan tiga termasuk seorang wanita mati ditembak pekebun berusia 71 tahun dengan menggunakan selaras senapang patah di sebuah restoran di Kota Jaya.
Susulan kejadian itu, polis memberkas seorang suspek kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian dan merampas senjata api jenis ‘shotgun’ yang dipercayai digunakan dalam kejadian berdarah tersebut.
Seorang peniaga mendakwa suspek yang merupakan pelanggan tetap di restoran tersebut sempat minum dan memaklumkan dia menembak mangsa selepas kejadian. – KOSMO! ONLINE














