PUTRAJAYA- Kementerian Luar mengesahkan tiada laporan rakyat Malaysia terjejas secara serius susulan kejadian gempa bumi kuat bermagnitud 7.5 yang berlaku di luar pesisir Wilayah Iwate, utara Jepun pada pukul 4.53 petang tadi waktu tempatan.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Jepun serta giat menghubungi komuniti rakyat Malaysia bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mereka.
“Rakyat Malaysia di Jepun khususnya di kawasan terjejas dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan segera menuju ke kawasan yang lebih tinggi sekiranya berada berhampiran pesisir pantai.
“Mereka perlu mematuhi sepenuhnya arahan pemindahan dan panduan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Jepun.
“Bagi memudahkan penyaluran maklumat dan bantuan konsular, rakyat Malaysia digalakkan untuk mendaftar serta mengemas kini maklumat perhubungan melalui portal e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my,” katanya hari ini.
Ketika ini, Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo sedang memantau rapat perkembangan susulan kejadian gempa bumi kuat itu.
Pihak berkuasa Jepun telah mengeluarkan amaran tsunami bagi kawasan pesisir pantai dengan jangkaan ombak setinggi sehingga tiga meter.
“Keadaan masih belum stabil dan pihak berkuasa tempatan sedang menilai kesan gempa bumi serta potensi risiko tsunami.
“Bagi mendapatkan bantuan konsular segera atau dalam situasi kecemasan, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo,” katanya.
Jelas kenyataan itu, Kementerian Luar Negeri akan terus memantau perkembangan situasi itu dan akan menyalurkan maklumat lanjut dari semasa ke semasa apabila maklumat disahkan. – KOSMO! ONLINE














