KUALA SELANGOR – Mayat seorang lelaki dipercayai mangsa bunuh ditemukan dalam keadaan tragis apabila dibungkus kanvas dan diikat dengan tali terdampar di tebing batu Pulau Angsa di sini, kelmarin.
Penemuan mayat yang sudah reput itu disedari kira-kira pukul 4.50 petang selepas polis menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang berada di lokasi berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, kejadian itu dikesan apabila sekumpulan individu yang sedang memancing terhidu bau busuk sebelum menemui satu bungkusan berikat tali di kawasan tebing batu tersebut.
Katanya, pemeriksaan forensik mengesahkan bungkusan tersebut adalah satu mayat sudah mereput dipercayai kira-kira seminggu yang kemudian dibawa ke Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam untuk bedah siasat.
“Proses bedah siasat dijalankan pukul 9 pagi tadi mendapati punca kematian adalah disebabkan lemas akibat dijerut leher.
“Setakat ini, identiti mangsa belum dapat dikenalpasti,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Justeru katanya, polis kini menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Khairol Hiysham Shamsuddin di talian
03-3289 1222.
Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 22 saat memaparkan orang awam berkumpul di lokasi penemuan bungkusan tersebut sehingga mencetuskan pelbagai tanda tanya di kalangan mereka. – KOSMO! ONLINE














