fbpx
PERPUSTAKAAN mini yang mengambil masa dua tahun untuk disiapkan ini bertujuan memupuk minat membaca dalam kalangan orang ramai.

Transformasi pondok telefon usang jadi perpustakaan mini di Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PONDOK kecil berwarna kuning, biru dan merah jambu dapat dilihat dengan jelas bagi setiap individu yang melalui sepanjang Lebuh Pantai di George Town, Pulau Pinang.

Tertera perkataan I love Penang yang turut ditulis dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Cina, Tamil dan tulisan Jawi.

Di dalamnya pula terdapat sebuah bangku dan rak yang menempatkan puluhan bahan bacaan untuk orang ramai.

Sebelum dijadikan perpustakaan mini, premis tersebut dahulunya merupakan sebuah pondok telefon yang digunakan masyarakat setempat.

Begitupun, perkembangan teknologi hari ini yang mana setiap individu mempunyai telefon bimbit menyebabkan pondok tersebut tidak lagi diperlukan hingga menjadikan kewujudannya kurang relevan.

Lebih menyedihkan, pondok telefon yang dahulunya menjadi pemudah hidup orang ramai untuk berhubung kini tidak lagi digunakan sehingga terbiar rosak dan usang begitu sahaja.

Mahu dimanfaatkan dengan betul, Penggerak Komuniti Muda (Peka) iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang menyediakan tuisyen percuma kepada pelajar di Pulau Pinang mengambil inisiatif memberi nafas baharu kepada pondok usang dan mengubahnya kepada sebuah perpustakaan mini.

SEORANG wanita kelihatan menggunakan pondok tersebut.

Menurut Pengarah Eksekutifnya, Joshua Woo Sze Zeng, idea menubuhkan perpustakaan tersebut timbul selepas pihaknya melihat beberapa buah pondok telefon yang telah usang dan rosak di sepanjang Lebuh Pantai.

Sebagai sebuah pertubuhan yang berorientasikan pendidikan, mereka terpanggil untuk mengubah pondok telefon lama menjadi sebuah perpustakaan mini.

“Projek ini sebenarnya telah dimulakan pada awal tahun 2020.

“Tetapi disebabkan oleh pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan, kerja-kerja pembinaan tertunda sehingga mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.

“Inisiatif ini bertujuan untuk memupuk minat membaca dalam kalangan warga Pulau Pinang terutamanya. Kami mahukan sesuatu yang terang dan menonjol serta mampu menarik minat generasi muda untuk datang melihat apa yang ada di sini,” katanya.

Melihatkan kesungguhan tersebut, ternyata Peka memandang serius kepentingan ilmu dalam kalangan masyarakat.

Ini kerana, sebelum pandemik bermula, pihak Peka menyediakan 37 pusat tuisyen percuma kepada penduduk di seluruh Pulau Pinang melibatkan 1,400 pelajar dan kebanyakannya terdiri daripada keluarga yang tidak berkemampuan untuk menghantar anak ke pusat-pusat tuisyen berbayar.

Bahkan, inisiatif yang mendapat dana daripada kerajaan negeri itu tetap dijalankan seperti biasa biarpun ketika dunia dilanda pandemik, menerusi dalam talian.

Tidak mahu menempatkan rak buku semata-mata, pondok usang tersebut diubah suai dan dihias dengan palitan warna-warna menarik bagi mencetuskan keterujaan ramai, sekali gus menarik minat orang awam untuk mengambil dan membaca buku-buku yang ditempatkan di dalam pondok tersebut.

JOSHUA mahukan perpustakaan mini itu dicat dengan warna terang bagi menarik anak muda berkunjung ke situ.

Atas keprihatinan itu, mereka mula memikirkan konsep dan reka bentuk, selain berbincang mengenai pemilihan warna untuk lima buah perpustakaan mini dan fungsi-fungsinya yang lain.

Lantaran itu juga, rona terang seperti kuning, biru, merah jambu dan ungu dipilih.

Menurut Joshua lagi, sebelum tampil dengan idea tersebut, dia membuat kajian daripada beberapa perpustakaan mini di beberapa negara luar.

“Banyak yang menjadi rujukan, tetapi saya lihat konsep mereka kurang menarik. Ini kerana, kebanyakan perputakaan itu hanya menempatkan sebuah rak buku biasa di tempat awam.

“Jadi, konsep perpustakaan mini dipilih kerana kesesuaian saiz dan bentuk pondok telefon terbiar itu sendiri.

“Secara keseluruhannya, projek di Lebuh Pantai merangkumi lima pondok kerana hanya terdapat lima pondok telefon terbiar yang ada di situ,” jelasnya.

Bukan semudah yang disangka, Peka melalui banyak proses perbincangan dan bantahan daripada pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), selaku pemilik dan penyelia pondok bagi merealisasikan matlamat untuk manfaat penduduk di negeri tersebut.

Begitupun, mereka beryukur kerana mendapat kerjasama yang baik daripada pihak MBPP dan kelima-lima pondok tersebut berjaya siap untuk dimanfaatkan oleh orang ramai pada pertengahan Januari lalu.

Tidak mengubah struktur asal pondok telefon tersebut, menurut Joshua, mereka hanya membersih dan mengeluarkan wayar asal sahaja. Selebihnya, mereka mulakan dengan memasang rak dengan penutup akrilik, manakala bagi port USB dan lampu disediakan oleh MBPP.

Kongsinya lagi, kesemua buku di perpustakaan mini tersebut disumbangkan daripada orang awam.

“Kami mengalu-alukan semua jenis buku yang ingin disumbangkan, terutamanya bagi membantu menambah bahan bacaan serta meluaskan ilmu dalam bidang sains, teknologi, isu semasa, sejarah dan topik-topik bagi meningkatkan nilai tambah pada diri.

“Selain buku, perpustakaan mini ini juga menempatkan bahan bacaan terbitan bulanan di Pulau Pinang dan akhbar Buletin Mutiara.

“Bahan-bahan yang terdapat di perpustakaan mini ini boleh dipinjam dan dibawa pulang untuk dibaca di rumah.

“Biarpun realitinya akan ada juga individu yang meminjam tetapi tidak memulangkannya semula, ia tidak mengapa. Bagi kami, sudah cukup memadai perpustakaan mini ini dapat menggalakkan budaya membaca kerana inilah tujuan asal projek ini dilaksanakan,” terangnya.

Bercerita lanjut, menurut Joshua lagi, setakat ini perpustakaan tersebut dijaga sepenuhnya oleh pihaknya yang mana mereka membuat jadual untuk kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan setiap minggu bagi memastikan kemudahan di situ dijaga dengan baik.

Hampir sebulan dibuka, menurut Joshua, perpustakaan mini itu mendapat sambutan yang amat baik dan menggalakkan daripada orang ramai.

ORANG ramai boleh menyumbangkan buku-buku untuk diletakkan di dalam perputakaan mini bagi manfaat masyarakat.

Selain mengunjungi perpustakaan mini itu untuk bergambar dan membaca buku, ada juga dalam kalangan orang ramai yang menderma buku-buku kepunyaan mereka di situ.

Kongsinya lagi, biarpun perpustakaan mini itu kini menjadi antara tarikan pelancong ke negeri tersebut, namun Peka tidak pernah mengimpikan untuk menjadikannya sebagai lokasi tarikan pelancong.

Begitupun, melihatkan ramai yang menyambut baik kemudahan tersebut dan menjadikan lokasi berkenaan sebagai lokasi wajib singgah apabila mengunjungi Pulau Pinang, pihaknya rasa bersyukur.

“Apa yang paling penting adalah perpustakaan mini ini mampu memupuk minat membaca dalam kalangan belia.

Mengambil contoh negara luar seperti Amerika Syarikat yang merupakan negara penerbit buku terbanyak di dunia dan diikuti negara China.

“Budaya membaca di kedua-dua negara itu begitu meluas dan mungkin disebabkan itu juga ia menjadikan Amerika Syarikat dan China sebagai negara yang paling maju dari segi ekonomi dan inovasi.

“Itu semua hasil daripada budaya membaca yang subur dalam kalangan warganya,” tambahnya.

Mendapat sambutan yang memberangsangkan dan dimanfaatkan dengan sempurna oleh masyarakat setempat, Joshua berhasrat mahu membina perpustakaan mini di 12 lokasi lain di negeri tersebut.

“Setakat ini kami sedang mengusahakan dua lagi projek perpustakaan mini dan sedang mencari lokasi seterusnya,” katanya menutup bicara.

Pertama kali melihat perpustakaan mini tersebut, Fatin Afifah Abdul Rahim, 30, teruja dengan tarikan baharu yang ada di Pulau Mutiara itu.

Jika sebelum ini kunjungannya ke Pulau Pinang hanya dipenuhi dengan aktiviti memburu makanan enak dan melawat tempat-tempat bersejarah, namun kini turut diselitkan dengan maklumat menerusi perpustakaan mini yang dibangunkan di tengah-tengah kawasan tarikan pelancong.

“Pada awalnya kami menyangka perpustakaan mini tersebut merupakan kios menjual makanan ringan seperti yang terdapat di negeri-negeri lain.

“Tetapi apabila melihat deretan buku di dalamnya, kami begitu teruja kerana ini merupakan kali pertama dilihat di negara ini.

“Kecantikan perpustakaan ini sudah semestinya dijadikan sebagai lokasi bergambar para pelancong.

“Tetapi apa yang menarik, ia juga membolehkan kami para pelancong mengetahui dan mengenali dengan lebih dekat perkara-perkara yang berlaku di sini menerusi bacaan terbitan bulanan di Pulau Pinang dan akhbar Buletin Mutiara,” kongsinya.

Ujar Fatin Afifah lagi, inisiatif ini wajar dijadikan contoh kepada negeri-negeri lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN