MUAR – Mangsa banjir di sebuah PPS di Lenga di sini mendakwa terpaksa mengikat perut apabila menerima makanan agak lambat.
Menurut salah seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Sani, 40, makanan yang diagihkan bukan sahaja berlaku pada sarapan pagi malah makan tengah hari dan malam.
“Kami di sini bukan mahu minta lebih. Bukan juga mahu menyusahkan orang lain. Tapi cuba bayangkan datuk, nenek, anak-anak kita kena tahan lapar. Saya tengok tidak sampai hati.
“Sarapan pagi juga agak lambat. Warga emas lepas solat subuh sepatutnya sudah mula bersarapan pukul 7 pagi. Paling lambat pun 8 pagi.
“Ini sudah pukul 9 baru sarapan pagi sampai. Hari ini makanan tengah hari pukul 2 petang pun belum dapat. Saya sedih lihat mereka ternanti-nanti makanan sampai,”katanya ketika dihubungi di sini.
Seorang lagi mangsa, Zainal, 35, memberitahu, makanan yang disediakan adalah dari pihak katering yang diberi kontrak.
Jelasnya, antara alasan yang diberi atas kelewatan penghantaran adalah jalan ke laluan PPS dinaiki air dan terputus hubungan. -K! ONLINE