PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan kejadian hujan lebat berserta ribut petir yang berlaku ketika ini hanya bersifat sementara kerana negara kini berada dalam fasa peralihan monsun.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, keadaan cuaca tersebut berpotensi menyebabkan banjir kilat, namun hujan yang berlaku bukan bersifat berterusan.
“Banjir yang berlaku ketika ini lebih kepada banjir kilat sahaja kerana jenis hujan adalah bersifat sekejap antara satu hingga dua jam, bukan jenis berterusan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Ujarnya, fasa peralihan monsun telah bermula pada 29 Mac lalu serta dijangka berterusan sehingga pertengahan bulan ini yang menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut dan akan beralih ke fasa Monsun Barat Daya.
“Semasa fasa peralihan monsun, negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang boleh menggalakkan pembentukan awan ribut petir.
“Keadaan itu lazimnya membawa kepada kejadian hujan lebat berserta angin kencang dalam tempoh masa singkat terutama pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung serta barat Sabah dan Sarawak. Fenomena cuaca itu berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” katanya.
Katanya, laporan MetMalaysia kelmarin merekodkan sebanyak 34 stesen utama mencatat bacaan hujan dengan 10 stesen merekodkan hujan melebihi 20 milimeter (mm).
“Antara kawasan yang mencatatkan jumlah hujan tertinggi ialah Petaling Jaya dengan bacaan 97.6mm, diikuti Ipoh (50.2mm) dan Keningau (48.2mm).
Bagi stesen meteorologi auksiliari pula, Pusat Pertanian Jorak, Pagoh di Johor merekodkan bacaan tertinggi iaitu 89.2mm diikuti Pantai Kuching, Sarawak (64.2mm) serta Hospital Bahagia, Kinta, Perak (60.4mm).
Untuk rekod, bacaan tertinggi sebelum ini dicatatkan di Perai dengan bacaan 164mm. -KOSMO! ONLINE














