BERMULA dengan membantu bapa di sawah, siapa sangka seorang wanita muda kini berjaya mengangkat perniagaan jerami padi ke tahap komersial sehingga dikenali di seluruh negara.
Nur Adila Fitriyah Khoded, 28, membuktikan bahawa latar belakang sebagai anak petani bukan penghalang untuk mencipta kejayaan dalam dunia perniagaan.
Anak jati Pida 12, Kodiang, Kedah itu berkata, perniagaan tersebut sebenarnya diasaskan oleh bapanya, Khoded Isa, 60, sejak 2009 secara kecil-kecilan.
Menurutnya, pada peringkat awal, bapanya hanya menggunakan sebuah mesin yang disewa dan menghasilkan jerami dalam kuantiti terhad untuk kegunaan penternak kambing serta lembu dalam negeri.
“Selepas habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2015, ayah minta saya uruskan perniagaan ini.
“Sebagai anak petani dan penternak, saya nampak perniagaan ini boleh dikomersialkan dan dipasarkan secara lebih luas,” katanya yang merupakan guru Bahasa Mandarin di sebuah sekolah di Perlis.
Katanya, dari situ minat terhadap perniagaan mula bercambah, apatah lagi apabila melihat permintaan semakin meningkat dari semasa ke semasa.
“Bila orang telefon minta jerami kita rasa seronok. Dari situ, timbul semangat untuk kembangkan lagi perniagaan ini termasuk memasarkannya menggunakan media sosial,” ujarnya.
Namun katanya, perjalanan perniagaan itu tidak mudah apabila dia terpaksa menyambung pengajian dalam bidang bahasa Mandarin di Beijing, China selama lima tahun bermula pada tahun 2016.
Walaupun berada di luar negara, namun Nur Adila tetap membantu mengurus tempahan dan membuat pemasaran secara dalam talian terutama melalui media sosial.
Katanya, penggunaan platform digital menjadi titik perubahan apabila pelanggan mula datang dari seluruh negara, bukan sahaja daripada rangkaian lama bapanya, malah pelanggan baharu.
Hari ini, perniagaan yang diusahakan itu mampu menjual sehingga ratusan gulung jerami setiap bulan. Pada peringkat awal, perusahaan itu hanya menghasilkan kurang dari 100 gulung sebulan, namun kini jumlah itu pernah mencecah sehingga 300 gulung sehari. Paling tinggi 1,300 gulung sebulan pada musim tertentu.
“Kami beroperasi selepas padi dituai atau dikenali sebagai ‘Musim Timur’ dan pergi sehingga ke Perak dan Selangor untuk mendapatkan jerami,” jelasnya.

Menurut Nur Adila, antara faktor kejayaan perniagaannya adalah kepercayaan pelanggan tetap, termasuk syarikat besar dan agensi kerajaan.
“Kita jaga kualiti dan amanah. Kalau jerami basah, kita sanggup ambil balik dan gantikan yang kering serta berkualiti. Itu yang buat pelanggan yakin,” katanya.
Ujar Nur Adila, pelanggannya terdiri daripada syarikat tenusu terbesar negara serta ladang-ladang fidlot seluruh Malaysia termasuk yang dimiliki kerajaan negeri.
Di sebalik kejayaan itu, dia tidak menafikan pelbagai cabaran terpaksa ditempuhi termasuk faktor cuaca yang tidak menentu.
“Kalau hujan, memang tak boleh buat. Pernah mesin sudah turun ke sawah, kos sudah keluar tetapi kerja terpaksa dihentikan,” katanya.
Selain itu, kenaikan kos operasi seperti harga tali dan minyak diesel turut memberi tekanan kepada perniagaan tersebut.
Bagaimanapun, Nur Adila memilih untuk mengekalkan harga jualan jerami gulung tersebut sejak 2009.
Dalam mengembangkan perniagaan, dia berani mengambil risiko besar apabila melabur ratusan ribu ringgit untuk membeli mesin penggulung jerami sendiri tanpa bantuan mana-mana pihak.
“Lepas beli mesin, duit memang hampir ‘kosong’ tetapi kita kumpul semula daripada jualan sedikit demi sedikit,” katanya.
Walaupun bergelar wanita, namun Nur Adila tidak kekok turun ke sawah mengurus operasi termasuk memantau kualiti jerami.
“Panas, penat semua itu biasa. Bila kita buat kerja dengan minat, kita tak rasa beban,” katanya.
Tambahnya, penguasaan bahasa Mandarin ternyata menjadi satu kelebihan besar buat dirinya dalam mengharungi kehidupan seharian dan dunia pekerjaan.
“Bila saya buat kerja, kawan-kawan ayah yang berbangsa Cina semua jadi kawan saya. Dari situ, hubungan jadi lebih rapat.
“Pergi mana-mana, termasuk di kedai atau berurusan dengan pelanggan Cina, saya selesa bercakap Mandarin,” katanya.














