fbpx
Mohamad Nor (tengah) bercakap pada pemberita di Kelab Golf Diraja Perak, Ipoh semalam.

Remaja 15 tahun antara 5,561 individu salah guna dadah sintetik ATS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Penyalahgunaan dadah sintetik khususnya Amphetamine-Type Stimulants (ATS) kini menjadi trend semasa dalam kalangan penggunanya di negeri ini.

Pengarah Agensi Antitidadah Kebangsaan (AADK) Perak, Mohamad Nor Musa berkata, seramai 5,561 individu berumur antara 15 hingga 39 tahun direkodkan mengambil dadah sintetik ATS tersebut.

“Manakala penggunaan dadah sintetik turut meningkat sebanyak 39.9 peratus berbanding 2023.

“AADK turut memberi perhatian serius terhadap isu ‘repeaters’ atau penagih berulang yang masih menjadi cabaran utama dalam usaha pemulihan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu, beliau menghadiri Program Malam Mesra Bersama Media AADK Perak 2026 di Kelab Golf Diraja Perak di sini.

Pada masa sama, beliau berkata, berdasarkan statistik AADK sehingga Disember 2025, seramai 191,832 individu direkodkan terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan bahan di negara ini.

Mohamad Nor berkata, bagi negeri ini pula, jumlah direkodkan adalah seramai 14,914 orang.

“Walaupun berlaku penurunan sebanyak 6.79 peratus berbanding 2024, angka ini masih berada pada tahap membimbangkan dan memerlukan tindakan berterusan daripada semua pihak,” katanya.

Beliau berkata, AADK juga memandang serius trend baharu penyalahgunaan vape bercampur bahan terlarang, cecair sintetik dan bahan halusinogen seperti ‘magic mushroom’ dalam kalangan pelajar sekolah dan remaja.

Katanya, penyalahgunaan bahan itu boleh menjejaskan prestasi akademik, disiplin, kesihatan mental serta masa depan pelajar sekiranya tidak dibendung lebih awal.

“Berdasarkan laporan diterima, terdapat peningkatan penglibatan pelajar bawah umur dalam penyalahgunaan vape dan bahan sintetik sejak beberapa tahun kebelakangan ini termasuk kes melibatkan pelajar seawal usia 11 tahun,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN