MELAKA – Kegiatan seorang lelaki menjual senapang angin berharga RM3,500 setiap laras menggunakan syarikat kurier berjaya dihidu polis apabila dia diberkas dalam satu serbuan di Kuala Sungai Baru, kelmarin.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, hasil risikan, suspek berusia 37 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di sebuah rumah kira-kira pukul 1.15 petang.
Ujarnya, pemeriksaan di premis menjumpai tujuh laras senapang angin menyerupai senapang sebenar bernilai kira-kira RM24,500 yang disorokkan di salah sebuah bilik.
“Hasil risikan, pasukan JSJ negeri berjaya mengesan suspek yang disyaki menjual senapang angin pada harga sekitar RM3,500 setiap laras.
“Kita juga percaya dia telahpun menjual empat laras senapang di Sabah, Negeri Sembilan dan Selangor menggunakan perkhidmatan syarikat kurier,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, suspek cuba menyembunyikan kegiatan jenayah itu dengan menggunakan kenalan rapat sebagai ejen untuk menjual senjata-sejata tersebut.
“Lelaki ini tidak menggunakan sebarang aplikasi sosial untuk menjual senjatanya, sebaliknya ia dilakukan secara tertutup dengan bantuan rakan-rakan yang mengambil tempahan.
“Senapang ini dijual dalam bentuk leraian komponen dan cara pemasangan akan diajar oleh suspek menerusi satu klip video yang diberikan kepada pelanggan,” katanya.
Tambah Abdul Majid, komponen senapang itu dipercayai didapatkan daripada negara jiran dan dibawa masuk ke negeri ini menggunakan laluan laut.
Katanya, hasil soat siasat suspek mendakwa senjata tersebut dijual bagi tujuan memburu, namun uji tembak dilakukan Bahagian Persenjataan IPK mendapati senapang dirampas berkeupayaan mengancam nyawa manusia.
“Suspek yang bekerja sebagai seorang pengendali kren mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan sama, kali terakhir dia telah didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM4,000, tahun lalu.
“Kita kini sedang mengesan kesemua pembeli dan ejen yang terlibat, manakala suspek kini direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960,” katanya. -K! ONLINE.